Home » Ulang tahun ke-4 GRS dari kaca mata penulis
Politik Sudut Pandangan

Ulang tahun ke-4 GRS dari kaca mata penulis

SIDANG MEDIA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara menamakan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai calon Ketua Menteri pada sidang media bertarikh 28 September 2020.

HARI ini tanggal 29 September 2024 genap 4 tahun GRS mengambil alih teraju kerajaan negeri.

GRS mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ketika Covid-19 sedang mengganas di seluruh negara. Di Sabah kadar jangkitan agak teruk dan menjadi-jadi semasa musim Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ke-16.

Seluruh aktiviti ekonomi hampir lumpuh. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memburukkan keadaan. Ramai hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Banyak perniagaan terutama berkaitan pelancongan dan makanan yang gulung tikar.

GRS mengambil alih kerajaan yang hampir lumpuh daripada Parti WARISAN. Keadaan ekonomi Sabah pada masa itu secara relatifnya sangat teruk. Jika pada tahun 2017, di bawah pentadbiran Tan Sri Musa Aman, Sabah merekodkan pertumbuhan KDNK 8.2 peratus iaitu yang tertinggi di Malaysia, kerajaan Warisan bersama PH mengheret angka itu turun kepada 1.5 peratus pada 2018 dan menurun lagi kepada 0.5 peratus pada tahun berikutnya.

Ramai bersetuju struktur pentadbiran Sabah boleh dikatakan runtuh sepenuhnya sejak PRU-14. Budaya pilih kasih berlaku secara meluas dalam jabatan kerajaan dan GLC. Pentadbiran dijalankan mengikut kehendak peribadi dengan mesyuarat kabinet jarang sekali diadakan.

Dalam keadaan penuh kecelaruan itulah kerajaan GRS dibentuk dan Hajiji diangkat menjadi Ketua Menteri Sabah yang baru.

Sejak dari mula, ada yang skeptikal dengan keupayaan Hajiji. Dia dilihat terlalu baik, lembut, bersopan santun dan berbudi bahasa untuk menerajui sebuah negeri yang dinamika politiknya dianggap paling luar biasa di Malaysia.

Tetapi Hajiji membuktikan tanggapan mereka itu silap. Dia menawarkan formula sendiri untuk membetulkan masalah. Bersedia mendengar, terbuka pada perundingan, tidak berkonfrantasi dengan mana-mana pihak dan bersuara hanya bila perlu. Dia lebih fokus kepada memberikan perkhidmatan yang pantas dan terbaik, membolehkan dia membawa Sabah keluar daripada krisis dan masalah sehingga berjaya meletakkannya di landasan yang sepatutnya.

Tindakan-tindakan politiknya juga berhemah. Dia membawa pasukannya meninggalkan PN dengan cara yang betul dan pada masa yang tepat. Demikian pula apabila dia menubuhkan (mengambil alih) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dan menjenamakannya sebagai Gagasan Rakyat. Kini, pada usia belum dua tahun selepas diambil alih, parti itu telah mempunyai lebih 300,000 ahli yang berdaftar. Satu pencapaian yang lebih daripada boleh dibanggakan.

Tidak siapa juga boleh menidakkan kerajaan GRS pimpinan Hajiji telah berjaya meletakkan Sabah ke satu penanda aras baharu.

Dari sebuah negeri yang KDNKnya pernah tercorot, Sabah menyumbang 5.5% kepada KDNK negara untuk tahun 2023, sekali gus meletakkannya dalam senarai enam negeri teratas daripada segi kadar sumbangan.

Lebih daripada itu Sabah memperoleh pendapatan sebanyak RM7 bilion pada tahun lalu, pencapaian tertinggi semenjak merdeka. Sayugia dinyatakan bahawa sebelum tahun 2021, kutipan hasil negeri tidak pernah melebihi RM4 bilion namun buat pertama kalinya pada 2021 berjaya mencapai RM5.4 bilion iaitu setahun selepas GRS mengambil alih pentadbiran.

Pada 2023 Sabah menerima pelaburan berjumlah RM11.34 bilion, menjadikannya negeri ketujuh meraih pelaburan tertinggi di negara ini.

Pada tahun lepas juga, jumlah perdagangan Sabah dianggarkan bernilai RM41.463 bilion, dengan eksport utama terdiri daripada minyak sawit sebanyak RM15.291 bilion, gas asli cecair (LNG) sebanyak RM5.051 bilion, petroleum mentah sebanyak RM2.548 bilion, minyak kernel sawit sebanyak RM1.289 bilion dan oleokimia berasaskan minyak sawit sebanyak RM1.123 bilion.

Jangan lupa sektor pembuatan dan pelancongan yang menampakkan pencapaian serta peningkatan ketara dari setahun ke setahun.

Memang benar, Sabah masih dihantui imej negeri miskin dan masalah infrastruktur, terutama di kawasan luar bandar. Namun usaha berterusan sedang digiatkan kerajaan. Pengkritik cuba memberi gambaran seolah-olah masalah-masalah itu berlaku selepas GRS memerintah. Mereka lupa bahawa mereka sendiri pernah menjadi punca dan sebahagian daripada masalah itu.

Rakyat tahu bahawa GRS sebenarnya tidak berdiam diri. Projek-projek pembangunan, terutama yang melibatkan kemudahan asas rakyat berjalan, walaupun tanpa publisiti. Pada Julai lepas Hajiji berkata terdapat 1,218 projek sedang dilaksanakan di Sabah – termasuk projek persekutuan. Daripada jumlah itu hanya 25 projek atau 0.205 peratus berstatus projek sakit.

Pada13 Ogos lepas, ketika berucap pada pelancaran projek penanaman padi di Kampung Ongkilan, Kota Marudu, Hajiji mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah berjaya menokhtahkan miskin tegar sejak akhir Julai. Dan ia bukan cakap kosong sebaliknya disokong dengan fakta.

Bagaimana Hajiji melakukannya? Dia menggunakan pendekatan ‘take the bull by the horns’, di mana kerajaan negeri memberi tanggungjawab kepada salah satu agensi kerajaan iaitu Sekretariat Sabah Maju Jaya yang menyelaras data-data dan statistik berkaitan kadar kemiskinan. Data-data itu diperolehi mengikut daerah dan kawasan DUN. Tujuannya supaya kumpulan sasar dikenal pasti secara terperinci untuk untuk memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan seperti pemberian Rumah Mesra Sabah Maju Jaya atau Rumah Mesra SMJ.

Program Rumah Mesra SMJ itu sendiri ada kisah manisnya. Jika waktu dilancarkan oleh Hajiji pada 29 September 2022, sasarannya adalah untuk membina 1,500 unit rumah mampu milik di negeri ini setiap tahun, kini jumlah itu dinaikkan kepada 3000 unit pada tahun hadapan. Hajiji sendiri mengumumkan mengenai perkara itu dengan berkata 40 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap DUN, berbanding 20 unit sekarang ini.

Tulisan ini menjadi tidak lengkap jika tidak menyentuh mengenai tindakan Hajiji mengarahkan GLC di negeri di negeri ini untuk memberi keutamaan kepada anak-anak daripada keluarga miskin bagi mengisi jawatan kosong.

*Musli Oli (kanan) merupakan seorang pengamat politik Sabah.
**Artikel ini adalah berdasarkan catatan FB beliau.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment