Home » Gagasan Rakyat Karambunai tekad rampas DUN pada PRN-17
Berita Tempatan Politik

Gagasan Rakyat Karambunai tekad rampas DUN pada PRN-17

Datuk Dr Stephen (kiri) merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Karambunai.

KOTA KINABALU : Jentera Parti Gagasan Rakyat Bahagian Karambunai (Gagasan Rakyat) bersiap sedia mengatur langkah bagi memperkukuh gerak kerja jenteranya bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dapat dirampas oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) nanti.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karambunai, Datuk Arshad Idris berkata, jentera parti diingatkan supaya tidak leka dalam menjayakan misi berkenaan sekali gus fokus untuk menjadikan parti itu agar menjadi lebih kukuh di peringkat akar umbi.

Katanya, ketika ini Gagasan Rakyat DUN Karambunai sudah bersiap sedia termasuk mengaktifkan semua bilik gerakan jentera pilihan raya meskipun PRN hanya akan berlaku pada tahun depan.

“Gagasan Rakyat mempunyai hanya satu matlamat untuk menangi kerusi DUN Karambunai sekali gus memastikan sesiapa sahaja calon PGRS nanti, kita akan pastikan dapat menawan semula kerusi ini kelak.

“Kita boleh boleh membuat kesimpulan disini, hampir 80 peratus segala persiapan ke arah PRN sudah dapat digerakkan hanya menunggu masa PRN-17 ini diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Tahunan Bahagian Karambunai di Dewan Rafflesia Politeknik, Kota Kinabalu hari ini.

Mesyuarat dirasmikan Timbalan Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Stephen J. Imbangan.

Arshad berkata, bermula tahun lalu Gagasan Rakyat Bahagian Karambunai sudah membuat persiapan awal PRN memandangkan ini merupakan tempoh pertama mereka terlibat secara langsung dalam pilihan raya.

“Alhamdulillah, kita beruntung kerana beberapa ahli sedia ada sudah mempunyai pengalaman besar dalam PRN sekali gus memudahkan semua gerak kerja nanti.

“Keyakinan kita ini bukanlah satu cakap kosong dan kita akan buktikan dalam gelanggang PRN-17 nanti,” jelas Arshad.

Menurutnya, ketika ini gerak kerja Gagasan Rakyat DUN Karambunai lebih tertumpu kepada membantu permasalahan rakyat dan dalam masa sama memenangi hati pengundi muda yang masih ‘kosong’ dalam dunia politik.

Dalam perkembangan berkaitan, Arshad berkata sehingga kini Gagasan Rakyat DUN Karambunai mempunyai seramai lebih 4,000 orang keahlian serta membabitkan 70 cawangan.

“Mereka terdiri daripada bekas ahli Parti Warisan (WARISAN) yang bertindak membubarkan cawangan mereka sekali gus menyertai Gagasan Rakyat DUN Karambunai.

“Kita yakin selepas ini jumlah keahlian serta cawangan akan meningkat berikutan keyakinan masyarakat Karambunai terhadap perjuangan Gagasan Rakyat yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor,” kata Arshad.

— TAMAT