Home » Isnin sedia pertahan Kerusi DUN Klias
Berita Tempatan Politik

Isnin sedia pertahan Kerusi DUN Klias

AMANAT: Isnin semasa menyampaikan ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Klias.

BEAUFORT: Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Klias, Datuk Isnin Aliasnih menyatakan kesediaan beliau untuk mempertahankan semula Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.


Isnin memberitahu, sekiranya diperlukan beliau bersedia mempertahankannya dalam PRN17 nanti berdasarkan sokongan dan keyakinan yang diterima daripada akar umbi.


“Selagi diperlukan (sebagai calon Gagasan Rakyat pada PRN17), saya akan pertahankan (kerusi  Klias),” katanya ketika ditemui semasa Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Klias, baru-baru ini.


Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan di Dewan Pa’ Musa itu dirasmikan oleh Naib Presiden 1 Gagasan Rakyat, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.


Dalam pada itu, Isnin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias memberitahu, Gagasan Rakyat Bahagian Klias kini mempunyai lebih 5,000 ahli daripada 91 cawangan berdaftar dan jumlah itu semakin bertambah saban hari, yang majoritinya merupakan pengundi DUN Klias dan bukan daripada kawasan lain.


“Saya yakin Klias kekal milik Gagasan Rakyat selepas PRN17 kerana kita sudah melaksanakan persediaan jitu jentera parti di semua peringkat termasuk cawangan dan pusat daerah mengundi (PDM).


“Bilik Gerakan atau ‘War Room’ juga telah saya arahkan bersedia bagi menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa, selain kerja jitu cawangan parti untuk terus menambah ahli parti ini setiap masa,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Isnin mengulangi pendiriannya bahawa Gagasan Rakyat bersedia bertanding di Parlimen Beaufort pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang termasuk di Parlimen Sipitang dan Kimanis.


“Sebagai Pengerusi GRS Zon Pedalaman Bawah, Gagasan Rakyat wajar bertanding di ketiga-tiga kerusi itu dan yakin memenanginya pada PRU16 akan datang sekiranya mendapat izin pucuk pimpinan.

“Kalau (pucuk pimpinan) GRS arah, kita bersedia (tanding Parlimen Beaufort, Sipitang dan Kimanis) kerana saya sebagai Pengerusi Zon (GRS) di kawasan ini, tapi sekiranya ada perundingan (dengan rakan parti lain), semuanya (keputusan) kita akan akur,” katanya.

— Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment