Home » Umat Islam perlu contohi peribadi dan keterampilan Nabi Muhammad SAW
Berita Tempatan Politik

Umat Islam perlu contohi peribadi dan keterampilan Nabi Muhammad SAW

MESRA: Hajiji disambut oleh jemputan lain setibanya di Program Sabah Berselawat 2024 di Dewan Saadah Wisma MUIS, di sini pada Khamis.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengajak masyarakat Islam agar sentiasa menjadikan peribadi dan keterampilan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh dalam diri masing-masing.

Katanya, melalui keperibadiannya yang luar biasa mulia dan disanjung itu, Nabi Muhammad SAW berjaya menyatukan kaum muhajirin dan ansar selepas berlakunya peristiwa Hijrah pada 622 masihi di Madinah.

Beliau berkata, penyatuan ini bukan sahaja membina hubungan baik antara manusia dengan Allah SWT, juga perubahan dan era baharu konsep persaudaraan dengan membangunkan model komuniti bertunjangkan Islam dalam menyatupadukan penduduk Madinah yang berbilang kaum dan agama.

“Konsep perpaduan dalam kepelbagaian kaum dan agama yang diperkenalkan oleh Rasullulah amat penting untuk diteruskan bagi memastikan lebih banyak kejayaan dan pembangunan dapat dinikmati di negeri ini.

“Melalui berselawat, diharapkan kita sentiasa memperingati sekaligus menjadi umat Islam yang mahukan kejayaan dunia dan akhirat”, katanya ketika merasmikan Program Sabah Berselawat 2024 di Dewan Sa’adah Wisma MUIS pada Khamis.

Hajiji berkata, menjadi tanggungjawab umat Islam mengangkat dan mengagungkan kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman, mengasihi dan mencintainya sepanjang hayat serta mendekati-Nya dengan berselawat kepadanya setiap masa.

“Meskipun tidak berkesempatan bertemu dengan Rasulullah S.A.W, namun kita masih berpeluang untuk mendalami dan mengamalkan sunnah dan sirah Baginda. 

“Hal ini antara bukti kecintaan kita kepada Baginda, satu-satunya Nabi dan Rasul yang berupaya memberikan syafaat kepada seluruh umatnya di hari kemudian nanti.

“Berselawat ke atas Rasulullah S.A.W sebenarnya dapat mendidik diri, hati, jiwa dan akal kita untuk menjadi umat yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan”, katanya.

Katanya, Program Sabah Selawat anjuran Stesen Radio SABAHfm adalah antara program tonggak RTM Sabah yang bertujuan mengimarahkan sambutan Maulidur Rasul dalam kalangan umat Islam di negeri ini khususnya di Kota Kinabalu.

Menurutnya, program yang kali kedua dianjurkan itu juga menjadi medium mendekatkan golongan belia dengan program-program keagamaan yang turut menampilkan penceramah terkenal dalam dan luar negara.

— TAMAT