Home » STAR harap semua kerusi ditandingi menang dalam PRN17
Berita Tempatan Politik

STAR harap semua kerusi ditandingi menang dalam PRN17

Jeffrey merasmikan pembukaan Pejabat STAR Bahagian Moyog di sini hari ini.

PENAMPANG: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) meletakkan harapan untuk menang di semua kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Presiden STAR Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan berkata, selain dari kerusi sedia ada, parti itu memerlukan kerjasama parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menang dalam PRN17.

Katanya, melalui kerjasama yang baik dengan parti komponen GRS, ia membolehkan parti itu menang dalam PRN.

“Contohnya, kalau dulu kita betul-betul bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS), kita boleh menang 23 kerusi sebab itu yang kena bagi.

“Ini juga beri gambaran yang kita boleh ‘deliver’ (berkhidmat) dan sekarang kita sudah ada pengalaman dan memahami perjuangan.

“Saya percaya kita akan belajar dari pengalaman supaya masa akan datang kita akan berjaya dan bintang borneo (STAR) akan bersinar,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Pejabat STAR Bahagian Moyog di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam PRN akan datang, STAR perlu meyakinkan rakyat di Moyog dan juga seluruh Sabah supaya parti itu akan menang di setiap kerusi yang ditandingi.

“Kita kena buat kerja supaya ada harapan untuk menang dan harapan untuk bertanding.

“Tapi saya lebih yakin, jika kita kerja kuat , kita juga mampu untuk meyakinkan rakyat terutama di kawasan pekan-pekan (bandar),” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, jentera parti itu perlu menerima perubahan, bukan sahaja melibatkan perubahan rakyat tetapi kecanggihan teknologi yang semakin berubah.

Menurutnya, kemajuan teknologi kini menjadi senjata yang boleh mengubah pemikiran dan sikap rakyat.

“Sehubungan itu, ahli jawatankuasa parti yang muda perlu menggunakan teknologi untuk sebar maklumat yang betul.

“Ini kerana, teknologi juga menjadi senjata musuh yang boleh mengelirukan rakyat dan sebab itu kita perlu perbetulkan apa yang tidak betul,” katanya.

Selain itu, Jeffrey berkata, pembukaan pejabat baharu STAR Bahagian Moyog itu juga menjadi mekanisme dalam meningkatkan aktiviti serta keahlian parti itu di kawasan Moyog.

Beliau berharap, pertambahan jumlah keahlian STAR Bahagian Moyog yang kini mencapai lebih 1,000 ahli dapat ditingkatkan sehingga melebihi 5,000 ahli.

“Tetapi ini bukan mudah dicapai kerana kalau kita lihat, kita masih lemah terutama di kawasan pekan. Di kawasan bukit (pedalaman) kita okey sudah tapi itu tidak mencukupi.

“Kita perlu dapatkan sokongan dan ia hanya boleh diperoleh bila rakyat yakin untuk sokong kita hasil dari melihat perjuangan, khidmat dan layanan kita terhadap rakyat,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan jentera parti supaya terus bekerja keras dan berusaha gigih bukan sahaja untuk meningkatkan jumlah keahlian, tetapi juga aktiviti, sokongan, khidmat, layanan dan keyakinan rakyat terhadap STAR.

— Siti Aisyah Narudin