Home » Kenyataan Suhaimi bersifat emosi, tidak berasas – Nizam
Berita Tempatan Politik

Kenyataan Suhaimi bersifat emosi, tidak berasas – Nizam

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Haji Nizam Bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyangkal dakwaan Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir yang menyatakan bahawa GRS gagal membawa kemajuan kepada Sabah.

Menyifatkan dakwaan tersebut tidak berasas dan bersifat emosi Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kerajaan negeri komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk pembangunan negeri, terutama dari segi infrastruktur, ekonomi, dan kestabilan politik.

Dalam kenyataannya hari ini beliau menegaskan Kerajaan GRS telah melaksanakan pelbagai projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan raya, bekalan air bersih, dan elektrik. Usaha-usaha ini sudah menunjukkan kemajuan positif dan mendapat sokongan daripada rakyat Sabah.

Kerajaan negeri juga, katanya, memperuntukkan sebanyak RM2.63 bilion dalam Belanjawan Negeri 2024, dengan RM1.72 bilion dikhususkan untuk Kementerian Kerja Raya Sabah bagi memastikan kemudahan asas seperti air dan elektrik terus dipertingkatkan.

“Penyelesaian isu-isu infrastruktur memerlukan masa dan perancangan yang teliti, dan kerajaan telah mengutamakan projek kritikal seperti loji rawatan air dan jaringan jalan raya dalam tempoh empat tahun ini,” katanya.

Mengenai dakwaan bahawa GRS gagal merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, Nizam menyatakan keyakinan bahawa Sabah akan terus diberi keutamaan dalam Belanjawan 2025, selaras dengan komitmen Perdana Menteri untuk menangani jurang kemiskinan di negeri itu.

ADUN Apas yang juga turut Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu menambah bahawa GRS telah melancarkan beberapa inisiatif untuk mengurangkan kemiskinan, termasuk usaha penghapusan kemiskinan tegar dan program Rumah Sabah Maju Jaya.

“Kutipan hasil negeri juga menunjukkan peningkatan ketara, dengan kutipan RM6.97 bilion pada 2023 berbanding RM5.44 bilion pada 2021,” tambahnya.

GRS, kata Nizam lagi, memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan politik, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan. Beliau menyatakan bahawa GRS berjaya memimpin parti-parti politik di Sabah untuk bekerjasama dalam membangunkan negeri ini, sambil mengutamakan kepentingan rakyat.

“Kestabilan politik bukan hanya soal kesatuan parti tetapi juga keupayaan untuk berkolaborasi dengan semua pihak,” katanya.

Dalam aspek ekonomi, Nizam menekankan bahawa Sabah menunjukkan pemulihan yang kukuh dengan pertumbuhan ekonomi beransur pulih dari kadar negatif 7.5% pada 2020 kepada 4.0% pada 2023. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah juga meningkat daripada RM77.8 bilion pada 2020 kepada RM81.9 bilion pada 2023.

Beliau turut menyatakan bahawa beberapa projek besar seperti loji rawatan air dan lebuh raya Pan Borneo sedang dalam proses pembinaan, yang dijangka akan membawa impak positif dalam jangka masa pendek dan sederhana.

Nizam menutup kenyataannya dengan mengajak semua pihak untuk bekerjasama membangunkan Sabah, dan bukan melemparkan kritikan yang tidak berasas.

“GRS komited untuk membawa kemajuan kepada negeri ini, dan segala usaha yang dilaksanakan kini berada di landasan yang betul mengikut hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment