Home » Program Jerayawara SMJ di Weston meriah
Berita Tempatan Politik

Program Jerayawara SMJ di Weston meriah

Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Mazlan Joehari Manan berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan Ketua Menteri sejak mengambil alih tampuk pemerintahan dan menerusi pimpinan beliau.

WESTON: Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah membawa pelbagai pembangunan menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang meliputi pelbagai aspek yang memberi manfaat yang cukup ketara kepada rakyat.

Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Mazlan Joehari Manan berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan Ketua Menteri sejak mengambil alih tampuk pemerintahan dan menerusi pimpinan beliau, banyak perkara menjadi keutamaannya bagi membangunkan Sabah ke tahap yang lebih baik.

Katanya, bagi memastikan Sabah dapat melangkah ke tahap seterusnya Kerajaan Negeri telah menyalurkan sejumlah peruntukan yang cukup besar kepada belia untuk meningkatkan potensi golongan itu bagi bersama-sama memajukan Sabah.

Golongan belia kata Mazlan, merupakan kumpulan yang mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri terutama Ketua Menteri bagi membantu mereka yang terlibat dalam perniagaan dengan menyalurkan bantuan khusus sebagai suntikan untuk mereka meningkatkan potensi perniagaan masing-masing.

“Antara bantuan itu ialah Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) yang diilhamkan Ketua Menteri menerusi agenda SMJ sebagai satu inisiatif dan pada masa sama menjadi dorongan untuk mereka meningkatkan lagi perniagaan sekaligus menjana lebih banyak pendapatan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jerayawara SMJ ‘Belia Aspirasi Komuniti Sejahtera’ yang diadakan di Dewan Sri Dayang, Weston baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan yang juga Pengerusi Skuad Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah mempelawa masyarakat khususnya belia di negeri ini untuk menyertai skuad itu dalam usaha memerangi musuh nombor satu negara itu.

Pelawaan menjadi ahli sukarelawan itu adalah bagi memastikan generasi muda hari ini terutama belia dapat bersama-sama kerajaan bagi memerangi gejala penyalahgunaan dadah yang semakin membimbangkan.

Katanya, belia sebagai pelapis pemimpin di masa hadapan wajar memanfaatkan peluang itu dengan menjadi ahli kepada skuad terbabit bagi mempersiapkan diri untuk menjadi seorang pemimpin yang berketerampilan agar dapat menyumbang sesuatu kepada negara kelak.

Jelas beliau, ini adalah peluang yang terbaik kepada belia untuk meningkatkan kepimpinan diri kerana Skuad AADK Negeri Sabah membuka penyertaan menjadi ahli skuad dengan menyasarkan sejuta ahli di seluruh negara.

Justeru Mazlan menggalakkan masyarakat khususnya belia di Weston serta seluruh Sabah yang belum menyertai skuad itu untuk menjadi ahli agar segala agenda kerajaan sama ada Persekutuan atau Negeri dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Terdahulu, Mazlan berkesempatan menyampaikan dana SYABAS kepada sepuluh orang belia di Pedalaman Bawah yang disaksikan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan serta Pengerusi Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah, Ag Marjohan Ag Amin.

Sempena Program Jerayawara SMJ di Weston turut diadakan acara senamrobik dan Fun Run; pertandingan lumba bot; pertandingan bola tampar; pertandingan memanah; sukan rakyat dan Jualan Rahmah.

Turut diadakan pameran daripada agensi dan jabatan kerajaan, saringan kesihatan dan juga program ceramah termasuk tiket cabutan pengunjung bertuah.

–Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment