Home » Joachim yakin rakyat jadi penentu dalam PRN17
Berita Tempatan Politik

Joachim yakin rakyat jadi penentu dalam PRN17

Timbalan Ketua Menteri yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam .

KOTA KINABALU: Rakyat yang akan menjadi penentu biar sesiapa pun yang bertanding di mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, sesiapapun boleh bertanding di mana-mana kawasan termasuk di DUN Kundasang, namun rakyat yang jadi penentu.

“Kita adalah negara demokrasi, sesiapa sahaja bebas bertanding. Akhirnya, rakyatlah yang memilih siapa yang mereka mahu mewakili mereka di DUN.

“Saya bersama jentera pentadbiran dan task force PBS Kundasang akan terus bekerja dan memberikan khidmat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang ini berkata demikian bagi membalas kenyataan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony yang disifatkan melancarkan ‘serangan’ bagi merampas kerusi DUN Kundasang pada PRN17.

Dalam pada itu katanya, DUN Kundasang semakin pesat membangun termasuk dari segi pembangunan infrastruktur yang kini sedang dalam pembinaan termasuk naik taraf jalan raya dari Tarawas/Kaingaran dan dari Singgaron ke Mansalu.

Selain itu jelasnya, bekalan air bersih dari loji Pinawantai Mukim Timbua,  bekalan air bersih loji Wayan Mukim Malinsau/Kaingaran dan hampir 85 peratus sudah mendapat bekalan elektrik.

“Projek kecil-kecilan lebih kurang 75 peratus setiap kampung sudah mendapat dewan mini.

“Saya akan pastikan semua jentera pentadbiran dalam DUN Kundasang memberikan khidmat terbaik dan melaporkan kepada saya secara terus memandangkan saya juga diperlukan di peringkat kerajaan negeri sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan,” katanya.

Beliau juga mahu semua pemimpin dan ahli PBS untuk terus kuat bekerja demi PBS kerana mereka berjuang bersama adalah untuk rakyat Sabah.

Joachim menegaskan, dirinya bersama Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS berdiri teguh dengan pendirian akan kekal dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri dan Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

—  Siti Aisyah Narudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment