Home » Sabah setuju pelarasan gaji selaras SSPA
Berita Tempatan Politik

Sabah setuju pelarasan gaji selaras SSPA

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

KOTA KINABALU: Kabinet negeri bersetuju dengan pelarasan gaji perkhidmatan awam negeri dalam dua fasa selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada 1 Disember.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pelarasan gaji kepada seramai 21,228 penjawat awam negeri ini akan dilaksanakan pada 1 Disember 2024 (fasa pertama) dan 1 Januari 2026 (fasa kedua) dengan melibatkan peruntukan keseluruhan RM103,020,059.66.

Hajiji berkata, kabinet negeri juga bersetuju untuk menyelaraskan kadar gaji pekerja sambilan harian negeri kepada minimum RM1,725 sebulan serta penambahbaikan faedah sedia ada mulai 1 Disember.

“Pelarasan gaji untuk 2,116 pekerja sambilan harian akan melibatkan kos sebanyak RM46,096,140.

“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi penyelarasan gaji perkhidmatan awam negeri dan pekerja sambilan harian ialah RM149,116,199.66,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pelarasan gaji itu adalah manifestasi pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan kakitangan perkhidmatan awam negeri dan pekerja sambilan harian kepada agenda pembangunan negeri.

Selain itu jelasnya, ia bagi membantu meringankan kos sara hidup harian yang semakin meningkat.

Pada 16 ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan SSPA akan menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM).

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment