Home » Tadbir urus kewangan Sabah cemerlang, diiktiraf Audit Negara
Berita Tempatan Politik

Tadbir urus kewangan Sabah cemerlang, diiktiraf Audit Negara

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian itu adalah bukti sistem kewangan Sabah kukuh dan ketelusan yang diamalkan oleh kerajaan negeri.

TAWAU: Kecemerlangan tadbir urus kewangan Sabah terbukti apabila menerima sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) baru-baru ini.

Terdahulu, lima negeri termasuk Sabah menerima sijil itu untuk Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 yang telah dikemukakan antara Januari hingga Jun 2024.

Ia dikeluarkan sendiri oleh Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataannya berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengenai kerajaan dan agensi negeri yang dibentangkan di Parlimen pada 14 Oktober lepas.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian itu adalah bukti sistem kewangan Sabah kukuh dan ketelusan yang diamalkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan dibawah Gabungan Rakyat Sabah Pakatan Harapan Plus (GRS-PH Plus) kekal komited bagi memastikan setiap dana awam diuruskan dengan bertanggungjawab.

“Pengiktirafan daripada Audit Negara ini membuktikan bahawa Sabah sememangnya berada di bawah kepimpinan yang baik dan stabil dari segi kewangan.

“Justeru, perlu saya tegaskan bahawa kejayaan ini bukan secara kebetulan, tetapi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah kunci utama kemajuan dan kestabilan negeri Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian dalam kenyataan media, di sini semalam.

Mengulas lanjut, katanya, pelan SMJ ini memberi fokus kepada pembangunan yang menyeluruh dan berterusan.

“Ia termasuklah sektor ekonomi, sosial dan infrastruktur bagi memastikan kita dapat memberikan peluang kepada semua lapisan masyarakat.

“Salain itu, kita tidak mengabaikan kepentingan untuk menggunakan dana awam ke tempat-tempat yang kritikal dengan cermat.,” kataya.

Nizam berkata, penyata kewangan Sabah telah diterima tanpa sebarang isu atau teguran dan ini menunjukkan bahawa kita berada di landasan tepat ke arah kestabilan fiskal dan pertumbuhan jangka panjang.

Katanya, ia juga mencerminkan usaha berterusan kita dalam melaksanakan program pembangunan yang berpaksikan keperluan rakyat serta komitmen bagi memastikan kebajikan rakyat Sabah terjamin.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua jabatan, agensi dan pihak berkepentingan yang telah memainkan peranan bagi mengekalkan tahap akauntabiliti kewangan yang tinggi ini.

“Kerajaan Sabah akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat melalui pengurusan kewangan yang cermat dan memastikan negeri ini kekal sebagai contoh tadbir urus yang baik di Malaysia,” katanya.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment