Home » Kerajaan negeri pastikan keperluan rakyat diberi perhatian
Berita Tempatan Politik

Kerajaan negeri pastikan keperluan rakyat diberi perhatian

PENYAMPAIAN: Nizam (lima kanan) menyampaikan nombor rumah kepada salah seorang penduduk.

TAWAU: Kerajaan negeri akan memastikan setiap keperluan dan kemudahan penduduk kampung di akar umbi diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, menjadi hasrat kerajaan negeri supaya setiap rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan yang ada di Sabah.

Katanya, masalah yang wujud di peringkat kampung di negeri ini akan cuba diselesaikan dengan sebaiknya demi keselesaan hidup rakyat.

“Sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas akan memastikan setiap keperluan dan masalah penduduk kampung diberikan perhatian dengan segera.

“Saya akan meminta semua pegawai di DUN Apas khususnya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) supaya meneliti setiap permohonan atau permintaan penduduk di peringkat kampung,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika hadir merasmikan penyerahan nombor rumah di Kampung Kinabutan Bukit, di sini pada Ahad.

Sementara itu, Nizam menerima beberapa perkara di Kampung Kinabutan Bukit ini yang perlu diselesaikan di peringkat DUN Apas.

Katanya, kemudahan masjid di kampung ini adalah paling utama diperlukan oleh penduduk memandangkan ada cadangan untuk pembinaan di tapak tanah yang baharu sahaja diwakafkan.

“Saya melihat ia adalah kemudahan yang harus diberi perhatian memandangkan ketika ini masjid kampung di sini iaitu Masjid Al-Ghafor berada di kawasan sekolah.

“Saya sememangnya bersetuju dengan cadangan itu dan akan berusaha bagi memastikan masjid itu didirikan dengan syarat status tanah berkenaan adalah rizab kampung,” katanya.

Selain itu, katanya, kemudahan-kemudahan lain seperti ruang riadah dan dewan juga perlu difikirkan supaya penduduk di sini mempunyai tempat untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan.

 Nizam menerima profil Kampung Kinabutan Bukit daripada pengerusi JKKK.
KAMPUNG: Nizam menerima profil Kampung Kinabutan Bukit daripada pengerusi JKKK.

Mengulas mengenai majlis ini, katanya, ia adalah inisiatif yang sangat baik kerana dengan adanya nombor rumah ini memudahkan pihak kerajaan menyalurkan bantuan dan mengenali setiap ketua isi rumah (KIR).

“Pihak kerajaan ataupun agensi kerajaan mudah untuk menjejaki rumah-rumah penduduk khususnya mereka yang perlu dibantu.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemimpin kampung di sini serta berharap ia dapat menjadi contoh kepada kampung lain supaya turut mempertingkatkan perkhidmatan mereka,” katanya.

— Hamzah Sanudin