Home » Transisi tenaga Malaysia menuju global
Politik Sudut Pandangan

Transisi tenaga Malaysia menuju global

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) membuka lembaran baharu dalam naratif pembangunan Malaysia.

SEIRING usaha memacu pertumbuhan ekonomi selari dengan pemeliharaan alam sekitar, kerajaan terus memperhebatkan usaha transisi tenaga boleh diperbaharui.

Terbaharu menerusi Belanjawan 2025, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM300 juta di bawah Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara berbanding RM100 juta yang diperuntukkan tahun ini.

Suntikan dana itu sudah semestinya memperkasakan lagi pelaksanaan projek Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Ini adalah antara khabar gembira dibawakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai transisi tenaga ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat lepas.

 Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 yang antara lain mengumumkan peruntukan RM300 juta di bawah Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara.
TRANSISI TENAGA: Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 yang antara lain mengumumkan peruntukan RM300 juta di bawah Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara.

Beliau menyebut beberapa projek NETR sudah memasuki fasa pelaksanaan.

Antaranya Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau di Terengganu, berupaya menghasil sehingga 1,000 megawatt dan separuh kapasiti ini akan digunakan untuk projek hab hidrogen hijau pertama di Terengganu melibatkan kerjasama Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Keduanya Program Large Scale Solar (LSS). Projek ini untuk membangunkan loji jana kuasa solar berskala utiliti dengan tawaran kuota 2,000 megawatt.

“Proses bidaan telah ditutup dan penilaian dijangka selesai selewat-lewatnya Disember 2024,” katanya.

Selain itu, Belanjawan 2025 turut membawa khabar gembira mengenai pembangunan dan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di negara ini, iaitu salah satu segmen ke arah transisi tenaga.

Menerusi belanjawan itu, kerajaan mengumumkan penstrukturan kerangka insentif cukai EV supaya selari dengan hasrat menggalakkan peralihan kepada EV pemasangan tempatan.

Antaranya insentif motosikal elektrik pemasangan tempatan (CKD) sehingga RM2,400 diteruskan dengan peruntukan RM10 juta bagi menggalakkan penggunaan kenderaan tersebut.

Usaha ini diyakini membantu negara untuk melangkah cepat dalam proses peralihan atau transisi tenaga kepada tenaga boleh diperbaharui (RE).

Menjurus tujuan yang sama, kerajaan juga telah memperkenalkan Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) atau Skim Intensif Solar untuk Rakyat, antaranya bertujuan  menggalak dan meningkatkan penggunaan solar untuk menggantikan penggunaan elektrik bagi jangka panjang.

Pelaksanaan SolaRIS merupakan langkah penting ke arah mempercepat perkembangan serta penggunaan tenaga baharu, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber elektrik grid berasaskan fosil.

Melihat kepada usaha dan komitmen kerajaan membangun tenaga boleh diperbaharui ini, pelbagai pihak optimis terhadap keupayaan Malaysia untuk mengurang dan meminimumkan pelepasan karbon dalam jangka panjang.

Bagi mereka, sokongan semua pihak amat penting dalam menjayakan matlamat menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi negara dengan kelestarian alam sekitar.

HADANAN, DAVID, AWIL
HADANAN, DAVID, AWIL

Ketua Tenaga Boleh Diperbaharui, Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC), Hadanan Hussin, berkata RE tidak menjamin kelestarian alam sekitar secara mutlak, tetapi ia adalah komponen utama dalam mencapai kelestarian alam sekitar.

Katanya, RE mempunyai kesan rendah terhadap alam sekita di mana sumbernya seperti angin, air, sinaran matahari, ombak dan lain-lain tidak mengeluarkan gas rumah kaca (GHG) dan tidak menyumbang kepada pemanasan global.

Pengeluaran RE berasal dari sumber yang secara semula jadi boleh diperbaharui, jadi RE adalah tenaga yang dihasilkan daripada sumber yang boleh diperbaharui, yang dipulihkan dalam skala masa manusia, tidak seperti bahan bakar fosil.

“RE dapat membantu mengurangkan penurunan kesan pada alam sekitar dan mempromosikan kelestarian alam sekitar melalui proses mitigasi,” katanya kepada Utusan Borneo.

SEAC dipengerusikan Tan Sri David Chu dan Ketua Kluster Industri Kecil dan Sederhana, Prof Datuk Foo Ngee Kee antara anggotanya.

Mengenai kemampuan Malaysia menyahut seruan global mengurangkan pelepasan karbon, Hadanan berkata mengikut perenggan 2(b) keputusan 1/CP.19, Malaysia telah menghantar Sumbangan Ditentukan Secara Nasional (NDC) kepada Sekretariat Konvensyen Kerangka PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada 27 November 2015.

NDC Malaysia menyatakan bahawa negara ini akan mengurangkan intensiti karbon seluruh ekonominya (berbanding KDNK) sebanyak 45% menjelang tahun 2030 berbanding dengan tahap tahun 2005, dan mencapai pelepasan sifar bersih (NZE) menjelang tahun 2050.

“Malaysia berada di landasan yang betul untuk memenuhi NDCnya melalui pelaksanaan NETR yang dilancarkan pada tahun 2023.

“NETR meneroka enam pemangkin transisi tenaga termasuk inisiatif di bawah setiap pemangkin,” katanya, sambil menyatakan NETR adalah rangka kerja strategik yang bertujuan untuk mempercepatkan usaha Malaysia menuju sifar bersih sepenuhnya.

Beliau berkata rancangan menyeluruh NETR adalah komprehensif dan menggariskan peningkatan secara beransur-ansur dalam pengagihan RE tenaga negara.

Katanya, ER akan menyumbang 31% daripada campuran tenaga Malaysia menjelang tahun 2025, 40% menjelang tahun 2035, dan 70% menjelang tahun 2050.

Hadanan yakin Malaysia mampu memenuhi arahan global seperti yang dinyatakan dalam NDCnya menjelang 2030, sekali gus mencapai emisi sifar bersih menjelang 2050.

Ini boleh dicapai melalui NETR dan inisiatif lain seperti penyelesaian berasaskan alam (NBS), pemulihan hutan dan program penanaman hutan.

Beliau menggariskan fakta mengenai komitmen Malaysia untuk mengurangkan emisi karbon bermula pada tahun 2006, melalui pelaksanaan pelbagai dasar dan inisiatif, antaranya.

a. Menambah biodiesel sawit ke dalam bahan bakar diesel (Akta Industri Biofuel Kebangsaan 2007).

b. Penubuhan pihak berkuasa pembangunan tenaga lestari untuk mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam penjanaan tenaga.

c. Promosi pengangkutan awam sambil mengehadkan pemilikan kenderaan persendirian (Rancangan Induk Pengangkutan Awam Negara).

d. Menggalakkan penerapan “Teknologi Hijau” – (KeTTHA 2017).

Hadanan berkata Malaysia mencata pengurangan intensiti karbon sebanyak 32.5% pada tahun 2011, bersamaan  18,578.80 kiloton setara karbon dioksida (Co2 eq.).

Katanya, pengurangan emisi GHG melalui pelbagai alat mitigasi seperti gazette hutan – menyenaraikan kawasan hutan secara tetap sebagai kawasan pemuliharaan, pengurusan hutan dan pemuliharaan.

Sebagai contoh, katanya, Sabah dan Sarawak mempunyai 86% daripada Hutan Malaysia, dengan jumlah 19.3 juta hektar, menyediakan penampan karbon semula jadi yang mampu mengimbangi 90% daripada emisi GHG tahunan Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, setiap rakyat Malaysia harus menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan untuk mempromosikan RE.

Ia seiring langkah menuju peralihan tenaga yang dapat menjimatkan negara kita sehingga USD13 bilion setiap tahun, mengurangkan emisi Malaysia dengan ketara, dan mempelbagaikan bekalan tenaga negara.

“Kita perlu mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif untuk RE, yang harus kompetitif, komprehensif, dan bercita-cita tinggi dalam penjanaan dan pembekalan tenaga, dengan mengambil kira trend terkini dan keperluan sosio-ekonomi semasa,” katanya.

Beliau berkata tenaga solar PV adalah teknologi utama yang akan memimpin peralihan tenaga negara, dengan kapasiti terpasang hingga 150 GW yang diperlukan menjelang 2050.

Selain itu, katanya, industri minyak sawit juga perlu memanfaatkan potensi bioenerginya melalui biomassa dan biogas.

Menurutnya, bioenergi dijadualkan menyumbang sekitar 16% daripada jumlah penggunaan tenaga Malaysia menjelang 2050.

“Kesedaran awam mengenai RE perlu dipromosikan di semua peringkat masyarakat, termasuk kepentingan mengurangkan jejak karbon, kecekapan tenaga, dan bangunan hijau,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Nasional Malaysia Cawangan Sabah, David Chan, bersikap positif bahawa RE boleh menyumbang kepada kelestarian alam sekitar walaupun ia tidak secara automatik menjamin sepenuhnya.

Yang penting, katanya, sokongan semua pihak amat diperlukan bagi menentukan transisi tenaga itu benar-benar berjaya.

Beliau berkata walaupun RE itu mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan pelepasan karbon, pengeluaran dan pemasangan teknologi boleh diperbaharui (seperti panel solar, turbin angin, dan bateri) masih mempunyai kesan alam sekitar.

“Kelestarian bergantung kepada bagaimana teknologi ini diurus, dikitar semula, dan diintegrasikan ke dalam ekosistem,” katanya.

David berkata negara ini mampu menyahut seruan global untuk  mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 2% menjelang 2030, namun ia memerlukan polisi kerajaan yang fokus, penglibatan sektor swasta dan sokongan awam.

Katanya, Malaysia telah membuat komitmen untuk mengurangkan pelepasan karbon, tetapi pencapaian sasaran ini bergantung kepada skala dan kelajuan penerimaan tenaga boleh diperbaharui, rangka kerja dasar, serta usaha dalam kecekapan tenaga dan pemeliharaan hutan.

Beliau berkata Malaysia juga komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang 2030, justeru semua pihak perlu mengembleng usaha ke arah itu.

Menurutnya, walaupun terdapat banyak kemajuan sehingga kini seperti peningkatan bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaganya, namun masih terdapat cabaran yang perlu dihadapi.

“Ini termasuk kebergantungan kepada pengeluaran kelapa sawit, penebangan hutan, dan subsidi bahan api fosil.

“Peralihan kepada tenaga bersih sedang berjalan, tetapi untuk memenuhi sepenuhnya matlamat Perjanjian Paris memerlukan usaha yang lebih besar dalam mengurangkan intensiti karbon di semua sektor,” katanya.

Mengenai SolaRIS, David berkata individu dan perniagaan boleh menyokong usaha ini dengan mengamalkan tenaga solar, mengurangkan penggunaan tenaga dan menyebarkan kesedaran mengenai manfaat tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, penyertaan dalam inisiatif kerajaan seperti SolaRIS, yang menawarkan insentif untuk pemasangan panel solar, boleh membantu mempromosikan penggunaan secara meluas.

“Advokasi untuk lebih banyak polisi tenaga hijau dan membuat pilihan mesra alam dalam kehidupan harian juga merupakan cara untuk menyumbang,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Warisan Bonda Academy, Lt Muda Maritim (B) Awil Kamsari, bersetuju RE menjamin kelestarian, justeru harus dipromosikan dalam komuniti secara menyeluruh di semua peringkat.

Beliau juga memuji inisiatif kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif menyahut seruan global ke arah mengurangkan kadar pelepasan karbon 2% menjelang 2030.

“Saya yakin dengan usaha ini serta pelbagai kempen dan pendekatan kepada masyarakat serta penglibatan rakyat keseluruhannya, perkara ini tidak mustahil untuk kita capai,” katanya.

Beliau melihat Malaysia kini bersungguh-sungguh untuk memenuhi komitmen dimeterai dalam Perjanjian Paris 2015.

Mengenai SolaRIS, Awil berkta penglibatan semua pihak teermasuk NGO dan generasi muda bermula di peringkat sekolah adalah penting untuk menjayakannya.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Mazlan Joehari Manan, pula berpendapat RE semestinya dapat menjamin kelestarian alam.

Katanya, ini kerana ia mampu mengurangkan pengeluaran karbon ke alam semula jadi terutamanya, sekali gus menjamin kehidupan yang lebih baik untuk rakyat dan alam semulajadi demi masa depan.

“RE ini mampu menjadi senjata berkesan dalam perjuangan menghadapi fenomena perubahan iklim yang kesannya kian ketara.

“Semua lapisan masyarakat sewajarnya berganding bahu memainkan peranan masing-masing dalam usaha membangunkan sektor tenaga boleh diperbaharui ini,” katanya.

Sambil mengalu-alukan intipati belanjawan negara yang menyediakan peruntukan RM300 juta bagi NETR, Mazlan optimis Malaysia mampu menyahut cabaran global bagi mengurangkan pelepasan karbon di masa depan.

Katanya, ini berdasarkan perancangan teratur dan teliti dalam pembangunan sektor berkenaan seperti solar dan pelbagai teknologi lain menggunakan asas tumbuhan dan alam semulajadi yang sedang diusahakan.

“Semua usaha kerajaan ini sudah pasti mengangkat dan membawa negara dalam menyahut seruan global ini,” katanya.

Menurutnya, Imbangan Tenaga Kebangsaan 2016 melaporkan Malaysia menggunakan sejumlah tenaga setara dengan 57.2 juta tan petroleum, untuk memastikan ekonomi berjalan lancar, demi menjamin kesejahteraan rakyat.

Selain itu, Malaysia telah melaksanakan sistem solar berskala besar ditawarkan secara tender oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah perjanjian belian kuasa kendalian langsung dengan sesebuah syarikat prasarana yang membeli atau memberi perkhidmatan kepada projek solar dibangunkan.

“Langkah-langkah sebegini oleh pihak kerajaan sudah pasti dapat membantu negara memenuhi komitmen dalam Perjanjian Paris 2015,” katanya.

MAZLAN, SHAHRIL, PAULUS
MAZLAN, SHAHRIL, PAULUS

Sehubungan itu, Mazlan berkata setiap rakyat Malaysia yang cintakan kelesterian alam haruslah menyokong usaha kerajaan itu.

Beliau berkata untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan, kerajaan perlu menyediakan inisiatif lebih berbaloi dan mampu milik kepada rakyat terutamanya berkenaan kos penyediaan solar kepada rakyat.

“Promosi dan galakan juga harus dilaksana secara bersungguh dan agresif supaya rakyat lebih memahami tentang penggunaan solar, demi menyokong negara memajukan sektor tenaga boleh diperbaharui demi kelesterian alam,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin, juga berkeyakinan bahawa negara berada di landasan tepat dalam pembangunan transisi tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin dan hidro kini diberi fokus kerana ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, seterusnya mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran alam sekitar serta menjamin kelestarian jangka panjang.

Katanya, dengan usaha yang berterusan seperti dasar tenaga hijau dan pelaburan dalam teknologi bersih, Malaysia mempunyai potensi untuk mencapai sasaran tersebut.

“Namun, ia memerlukan komitmen yang kukuh dari semua pihak, termasuk sektor swasta dan masyarakat,” katanya.

Sharil berkata Malaysia telah mengambil langkah seperti pengenalan dasar Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pelan Tindakan Nasional.

Menurutnya, walaupun terdapat cabaran, negara berupaya mencapai komitmen itu hasil usaha berterusan dalam mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan penggunaan tenaga bersih.

Sehubungan itu, Mohd Shahril mengajak masyarakat agar menyokong usaha kerajaan itu dengan meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

“Ia termasuk menyertai program seperti SolaRIS, dan mengamalkan langkah-langkah penjimatan tenaga.

“Sektor swasta pula boleh melabur dalam teknologi tenaga hijau dan menyokong inisiatif kerajaan,” katanya.

Melihat dari sisi yang sama, Pengerusi Persatuan Persahabatan Artis KDMR Sabah (PPAKS) Paulus Kuag, turut menyokong usaha kerajaan ke arah pembangunan RE menjamin kelestarian terhadap alam dalam jangka panjang.

Menurutnya, seperti industri muzik yang turut menghadapi cabaran dalam era globalisasi dan perlu dilindungi, khazanah alam juga demikian sifatnya di mana ia perlu dijaga demi kelangsungan dan masa depan.

“Usaha yang dilaksana negara mempertahan kelestarian alam adalah satu perjuangan global demi kepentingan generasi masa depan, sebagaimana yang kami perjuangkan,” katanya.

Beliau yakin negara mampu menyahut seruan global untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon `jika semua pihak memahami dan menyahutnya secara positif’.

“Untuk menjayakan objektif kerajaan termasuk inisiatif menerusi SolaRIS, semua pihak harus bekerjasama mempromosikan agenda pembangunan RE dan transisi tenaga agar ia difahami sepenuhnya oleh komuniti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah syarikat tempatan di Sabah merintis usaha menggunakan tenaga solar bagi pembangunan projek `Solar-Powered Nano Filtration Drinking Water System’ untuk membantu selesai masalah bekalan air di kawasan terpencil di negeri itu.

Jetama Sdn.Bhd, anak syarikat Sabah Development Berhad (SDB) telah diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan projek perintis berkenaan.

Sebagai permulaan, `Solar-Powered Nano Filtration Drinking Water System’ yang diinovasikan oleh Jetama akan dilaksanakan di tiga kampung, iaitu Kampung Pulau Berhala Sandakan, Kampung Tanjung Batu Sukau dan Kampung Paris, Kinabatangan.

Ia merupakan sistem air minuman mudah alih berkuasa solar untuk membantu Kerajaan Negeri Sabah dalam menyelesaikan isu bekalan air minum terutamanya di kawasan terpencil atau yang dilanda bencana.

 Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn.Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang (dua kanan) memberi taklimat mengenai projek `Solar-Powered Nano Filtration Drinking Water System' di Kota Kinabalu.
TAKLIMAT: Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn.Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang (dua kanan) memberi taklimat mengenai projek `Solar-Powered Nano Filtration Drinking Water System’ di Kota Kinabalu.

Pengerusi Jetama Water Sdn.Bhd, Liau Fui Fui, berkata sistem itu menggunakan tenaga suria dengan menggunakan panel solar untuk penjanaan tenaga kepada sistem rawatan air minum mudah alih ini.

“Dengan kelengkapan tersebut sistem ini adalah mampan dan mudah alih, menjadikannya sesuai untuk lokasi terpencil yang tidak mempunyai akses tenaga grid.

“Sistem ini mesra alam kerana menggunakan tenaga suria, iaitu sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan meminimumkan pelepasan karbon,” katanya.

Beliau ditemui pada pameran sempena Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru Sabah 2024 (SIBEC 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu, pada Sabtu lepas.

Fui-Fui berkata projek itu juga kos efektif kerana setelah pemasangan, kos operasi adalah minimum kerana cahaya matahari adalah percuma, selain tidak menggunakan bahan kimia.

Justeru, katanya, ianya amat berfaedah di kawasan yang terpencil yang tidak mempunyai akses kepada elektrik grid.

Hakikatnya, penggunaan inovasi dan teknologi baharu penting dalam memastikan transisi tenaga kepada RE, membantu pertumbuhan ekonomi tanpa menjejaskan kelestarian alam.

NETR sendiri misalnya telah menetapkan sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui mencapai 70 peratus menjelang 2050.

Matlamatnya adalah untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta membawa negara ke arah rendah karbon untuk memacu laluan peralihan tenaga rendah karbon bagi sektor tenaga, pengangkutan, pembuatan serta minyak dan gas.

Selain itu, NETR melangkaui sumbangannya kepada penyahkarbonan atau pelepasan (GHG, sekali gus mewujudkan Malaysia yang mampan.

*Datuk Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment