Home » 200 belia sertai Kursus Pemantapan Jati Diri Pemimpin
Berita Tempatan Politik

200 belia sertai Kursus Pemantapan Jati Diri Pemimpin

Emmie ketika merasmikan Kursus Pemantapan Jati Diri Pemimpin di Dataran Tomborungus, Kudat yang dihadiri Beliawanis di 15 Bahagian di zon itu.

KUDAT: Seramai 200 beliawanis dari Pergerakan Beliawanis Zon Satu menyertai Kursus Pemantapan Jati Diri Pemimpin yang diadakan di Dataran Tomborungus, Kudat yang dirasmikan Ketua Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Emmie Martin Idang.

Emmie berkata program itu adalah sebagai satu persediaan awal Pergerakan Beliawanis Zon Satu bagi menghadapi pilihan raya selain mempersiapkan jentera dan menyusun strategi gerak kerja.

Jelasnya, dalam usaha untuk merealisasikan perjuangan dan hala tuju parti, jelajah Gema Beliawanis yang dijalankan sejak tahun lalu menekankan usaha pergerakan untuk melakukan hubungan secara langsung dengan anak-anak muda.

“Saya amat bangga dengan program yang dianjurkan oleh Beliawanis Zon Satu, yang mana pengisian berbentuk ilmiah dan pada masa yang sama ada juga ‘fun’ aktiviti yang dijalankan. Tidak boleh lah kita terlalu serius, inilah keseimbangan yang kita mahu apabila menjalankan program untuk menarik minat orang ramai.

“Di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor banyak pencapaian dan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat Sabah, khususnya anak muda.  Sebagai contoh, RM470 juta diperuntukkan untuk pembangunan modal insan dalam belanjawan, kita diberikan banyak biasiswa dan bantuan seperti BUDI, BAKTI, BAGUS sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kursus Pemantapan Jati Diri Pemimpin di Dataran Tomborungus, Kudat yang dihadiri Beliawanis di 15 Bahagian di zon itu.

Hadir sama Naib Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat, Noorazmahirah Noorzain; Ketua Penyelaras Beliawanis Zon Satu Sonita Lim yang juga Ketua Beliawanis bahagian Tanjong Kapor serta ahli-ahli Beliawanis Zon Satu.

Tambah Emmie pelaburan asing seperti syarikat SK Nexilis dan Kibing ke Sabah banyak mewujudkan peluang pekerjaan di negeri ini dan kemasukan DP World untuk pembangunan pelabuhan dan logistik di Sepanggar.

Jelasnya, semua usaha kerajaan di bawah pimpinan Hajiji telah berjaya menjana kutipan hasil negeri sehingga mencecah lebih RM6 billion.

“Maklumat dasar dan polisi ini sebarkan sehingga peringkat akar umbi terutama Wanita Muda. Beliawanis, supaya anak-anak muda tahu usaha dan pencapaian kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

— Kenneddy Corlleus