Home » SIBEC 2024: Pemangkin memajukan ekonomi biru di Sabah
Politik Sudut Pandangan

SIBEC 2024: Pemangkin memajukan ekonomi biru di Sabah

SIBEC 2024 adalah pemangkin untuk memajukan Ekonomi Biru negeri ini, menjadi platform untuk berinteraksi dengan ilmu pengetahuan global dalam bidang ini, menarik pelabur tempatan dan antarabangsa serta pemain industri.

Ekonomi Biru – merujuk kepada sebuah kerangka ekonomi yang berteraskan kepada penerokaan khazanah laut dan maritim.

Hari ini, kebanyakan usaha penerokaan ini masih berada pada peringkat ‘brown-blue economy’ yakni merujuk kepada penghasilan sumber protein seperti penangkapan ikan. Hasil itu sahaja sudah menunjukkan kadar keuntungan yang tinggi buat Sabah.

Bayangkan, potensi tahunan hasil ikan dan udang dalam Ekonomi Biru Sabah sahaja dianggarkan melebihi 491,000 tan metrik, dengan nilai RM3.25 bilion.

Walaupun setakat ini, kurang daripada 50 peratus daripada potensi tangkapan telah diterokai dan hanya terdapat lebih kurang 3,000 kapal nelayan, kebanyakannya beroperasi dalam jarak 30 batu nautika dari pantai. Hanya 7 buah kapal sahaja yang pergi ke laut dalam.

Ekonomi Biru ini bukan sekadar pada kerja-kerja nelayan, tetapi turut membawa kepada 14 komponen Ekonomi Biru lain yang boleh diterokai. Antaranya adalah tenaga lautan boleh diperbaharui, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim, dan bioteknologi marin dan sebagainya.

Tahun ini, Sabah sudah meluluskan Akta Penukaran Tenaga Termal Laut (OTEC), yang membolehkan Suruhanjaya Tenaga Sabah meneroka penukaran tenaga termal laut sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.

Teknologi OTEC yang menggunakan perbezaan suhu antara permukaan lautan yang hangat dan perairan dalam yang sejuk untuk menjana elektrik tanpa memerlukan bahan bakar. OTEC juga mempunyai impak alam sekitar yang rendah dan boleh menghasilkan air bersih untuk minuman dan pertanian. Ia juga boleh menyediakan penyejukan, penyejukan makanan, serta tenaga yang boleh dipercayai untuk komuniti pantai.

Satu kelebihan buat Sabah yang mempunyai garis pantai sepanjang lebih 1,700 kilometer dan 75 peratus daripada rizab Tenaga Termal Laut berada di Malaysia. Kajian telah menunjukkan Sabah boleh menghasilkan sebanyak 20,000MW elektrik dan ini bukan sahaja boleh membantu Sabah memiliki rizab tenaga yang mencukupi malah boleh dijual kepada wilayah jiran seperti Kalimantan, Indonesia.

Idea Ekonomi Biru yang diperkenalkan oleh Dr Gunter Pauli ini sudahpun mendunia dan Sabah merupakan negeri pertama berusaha untuk mengaplikasikannya. Idea ekonomi yang bertaraf global ini wajar dipuji dan pasti akan menjadi legasi pentadbiran di bawah kepimpinan Ketua Menteri, YAB Datuk Seri PanglimaHaji  Hajiji Haji Noor dan tahniah kepada Sekretariat SMJ atas pelaksanaan SIBEC 2024 di mana ia telah menjadi pemangkin untuk memajukan Ekonomi Biru negeri ini, menjadi platform untuk berinteraksi dengan ilmu pengetahuan global dalam bidang ini, menarik pelabur tempatan dan antarabangsa serta pemain industri.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .