KUALA PENYU: Masyarakat diingatkan supaya mendisiplinkan diri dalam penjagaan kesihatan, baik dari segi pemakanan mahupun senaman.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury, berkata aspek kesihatan tidak boleh diabaikan walau sesibuk mana pun pekerjaan seseorang.
Katanya, disiplin diri adalah prasyarat penting bagi membentu komuniti yang sihat fizikal serta cerdas minda dan fikiran.
Menurut Limus, jika seseorang dapat mendisiplinkan diri dan mengikuti rutin jadual penjagaan kesihatan, ia diyakini membawa impak positif dalam masyarakat.
“Disiplinkan diri untuk bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari, dan sekurang-kurangnya empat hari dalam seminggu. Jangan bagi alasan `tiada masa’ atau `sibuk banyak kerja’.
“Ini kerana masa sebenarnya sentiasa ada, cuma kita perlu disiplinkan diri bagaimana membahagikan masa dan menggunakannya.
“Begitu juga alasan `sibuk banyak kerja’, ia tidak boleh diterima kerana kerja tidak pernah akan habis, baik di rumah mahupun di pejabat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Skim Pemeriksaan Kesihatan Percuma Rakyat Sabah Bahagian Kuala Penyu, di sini semalam.
Program itu dijayakan bersama Pejabat Daerah Kuala Penyu, Jabatan Kesihatan dan Syarikat Borneo Sinamas Sdn Bhd.
Hadir sama Pegawai Daerah, Nelson Domil Oluk.
Limus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu menghargai fokus kesihatan yang terus diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, dalam Belanjawan 2025, Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua tertinggi, iaitu RM45.3 bilion tahun depan.
Ia bagi menjalankan tugas-tugas asas termasuk memastikan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, selesa dan mesra rakyat.
“Usaha kerajaan ini diharap dapat membentuk masyarakat yang sihat, seterusnya menyumbang kepada agenda pembangunan negara,” katanya.
Beliau berharap peningkatan peruntukan bagi Kementerian Kesihatan itu dapat membawa harapan baharu kepada aspek pembangunan dan penjagaan kesihatan rakyat, khususnya di negeri ini.
Mengenai program itu, Limus berkata ia merupakan usaha kerajaan yang memberi fokus perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar.
Katanya, ia selaras dengan teras kesihatan yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan komitmen Kementerian Kesihatan — Utusan Borneo
Add Comment