Home » Teruskan usaha tambah ahli, perkuat jentera- Fairuz
Berita Tempatan Politik

Teruskan usaha tambah ahli, perkuat jentera- Fairuz

Fairuz turut mengajak semua ahli sayap untuk fokus dalam usaha mempertahan dan menjadi benteng kepada institusi Presiden serta parti secara keseluruhan.

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan menyeru semua pimpinan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis untuk terus berusaha menambah jumlah ahli di setiap cawangan dan bahagian.

Itu bagi memastikan jentera parti menjadi lebih ramai bagi mendepani cabaran Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

“Saya sangat pasti dan yakin, dengan bilangan ahli di semua sayap yang ramai, kita mampu berdepan dengan apa jua cabaran di hadapan, khususnya untuk PRN ke-17 tidak lama lagi.

“Ini yang perlu kita lakukan, yang semua sayap perlu lakukan untuk usaha memperkuat jentera,” katanya semasa berucap sempena Perasmian Serentak Persidangan Agung Tahunan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Sabtu.

Menurut Fairuz, politik negara masa kini dilihat makin mencabar dan Sabah turut tidak terkecuali.

“Kita melihat ke arah sokongan rakyat Sabah dan trend semasa adalah rakyat memilih menyokong parti tempatan dan membawa sentimen kepada tertubuhnya parti kita, iaitu Gagasan Rakyat.

“Kita telah mengambil keputusan berani untuk menubuhkan parti ini dan bergerak sebagai sebuah parti tempatan yang membuka keahliannya kepada semua kaum dan agama seluruh negeri,” katanya.

Tambah Fairuz, Gagasan Rakyat merupakan sebuah parti yang ditubuhkan dengan matlamat untuk memenuhi kehendak rakyat.

“Rakyat mahu kita teruskan perjuangan legasi parti tempatan dan rakyat mahu orang tempatan yang mencorak pembangunan serta kemajuan negeri Sabah.

“Orang Sabah mahukan orang kita sendiri, yang menjadi ketua dan pemimpin negeri ini.

“Kata mereka, ‘sudahlah, cukuplah dengan bergantung harap kepada orang luar, kita sendiri mampu mentadbir negeri Sabah dengan baik’,” katanya.

Tambah Fairuz, Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah formula dan ramuan terbaik dalam usaha untuk memastikan Sabah tampil maju dan membangun.

“Saya optimis, Gagasan Rakyat akan menjadi parti yang kuat dan inilah manifestasi rakyat Sabah yang sudah lama menginginkan sebuah negeru aman makmur serta membangun dengan maju dan jayanya.

“Jika semua ingin tahu, ketiga-tiga sayap, baik Wanita, Pemuda mahupun Beliawanis, kita semua sudah melaksanakan gerak kerja sayap secara agresif dengan pelbagai program sentuhan akar umbi.

“Kita percaya ini penting dalam memastikan momentum sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat akan terus mekar dan diperkasakan, hari demi hari,” ujar Fairuz.

Selain itu, Fairuz turut mengajak semua ahli sayap untuk fokus dalam usaha mempertahan dan menjadi benteng kepada institusi Presiden serta parti secara keseluruhan.

“Jangan diam jika kita diserang, pihak lawan menyerang kita dengan sangat dahsyat.

“Tidak cukup dengan dasar dan polisi, mereka juga menyerang peribadi Presiden kita dan ini jelas memperlihatkan bahawa mereka kekurangan isu untuk disajikan kepada akar umbi, hingga terpaksa menjaja cerita karut serta fitnah.

“Kita mesti memaksimumkan penggunaan media sosial untuk mendepani serangan pihak lawan kerana jika kita peka akan hal ini, pasti mudah untuk kita mematahkan tuduhan dan fitnah pihak tidak bertanggungjawab,” kata Fairuz.

Dalam pada itu, beliau juga menyarankan kepada pimpinan tertinggi parti untui meletakkan lebih ramai calon orang muda dan baru dalam PRN akan datang.

“Kami yakin, semua sayap memiliki ramai calon yang berpotensi, mampu memenangi hati rakyat, dan berkredibiliti kerana berdasarkan bilangan pengundi muda yang agak ramai, tentunya alasan ini amat relevan dan munasabah.

“Calon baru yang diletakkan dari kalangan orang muda dan baru, apabila digandingkan dengan pimpinan lama yang berpengalaman dan berjasa, pasti mampu membawa misi parti kita untuk rakyat serta negeri Sabah yang kita cintai ini,” katanya. – DE

— Noor Zafira Zayn

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment