KOTA KINABALU: Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) telah meluluskan satu pindaan penting dalam perlembagaan parti yang bertujuan memperkukuh disiplin dan kesetiaan ahli-ahlinya. Pindaan ini, yang memperkenalkan Fasal 34A, menetapkan pemberhentian keahlian secara automatik bagi seorang wakil rakyat yang melanggar prinsip-prinsip kesetiaan kepada parti.
Menurut pindaan tersebut, mana-mana ahli yang dipilih sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan kehilangan keahlian secara automatik jika mereka:
- Menyertai parti politik lain;
- Menjadi wakil rakyat bebas;
- Mengingkari arahan Presiden atau Majlis Tertinggi parti;
- Menyokong gabungan politik atau individu tertentu untuk tujuan pelantikan, pengekalan, atau penukaran Perdana Menteri atau Ketua Menteri tanpa persetujuan Presiden atau Majlis Tertinggi parti.
Pindaan ini dianggap langkah proaktif untuk memastikan kestabilan politik dan memelihara integriti parti dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Menurut Datuk Maijol Mahap, Ahli Majlis Tertinggi dan Pengerusi Biro Undang-Undang dan Aduan Awam yang membentangkan usul pindaan ini, justifikasi pindaan ini adalah untuk memastikan wakil rakyat yang dipilih kekal setia kepada perjuangan parti.
“Langkah ini diambil bagi mengekang sebarang bentuk tindakan daripada kalangan wakil rakyat yang boleh menjejaskan kestabilan parti dan politik” katanya.
Menurut Maijol, “pindaan ini adalah selaras dengan Fasal 49 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal 17 Perlembagaan Negeri Sabah yang menyatakan bahawa seseorang wakil rakyat akan mengosongkan kerusinya jika dia menyertai parti lain atau menjadi wakil rakyat bebas”.
Pindaan ini akan dapat memperkukuhkan kedudukan Gagasan Rakyat sebagai parti yang stabil dan berwibawa, selaras dengan matlamatnya untuk membawa kemajuan dan kestabilan kepada Sabah.
Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat telah diadakan pada 9-10 November 2024 di SICC, Kota Kinabalu yang telah dirasmikan oleh Presiden, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor
–TAMAT
Add Comment