BETUL Datuk Seri Hajiji Haji Noor telah melancarkan secara rasmi Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada Mac lalu, kerana parti itu mezahirkan sokongan pada kerajaan GRS-BN dan secara khusus memohon menjadi komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Maksud sebenar Hajiji semasa melancarkan parti baharu tersebut, hanya satu matlamat, mana-mana parti yang mohon bergabung untuk memperkuat kebersamaan dan kesatuan maka dialu-alukan, akan tetapi, sebagai parti baharu, komitmen parti itu perlu dibuktikan terlebih dahulu, sebelum dipertimbangkan untuk diterima sebagai parti komponen.
Kini terbukti benar, tidak cepatnya menerima permohonan parti yang ditubuhkan oleh mantan naib presiden Parti Warisan tersebut menunjukkan belangnya, apabila meletakkan calon-calon pada pada PRU kali ini, sekali gus bertembung dengan calon-calon GRS mahupun BN.
Benar menurut Hajiji Sabah tak berdaya jika tidak bersatu, tetapi bukan seperti mana tindakan KDM, kerana maksud bersatu bagi Ketua Menteri tersebut saling sokong menyokong bukan sahaja meliputi Negeri akan tetapi juga di peringkat Persekutuan.
Tindakan Hajiji memecat Datuk Wetrom Bahanda daripada jawatan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, ada lah isyarat jelas, maksud bersatu bagi Ketua Menteri tersebut, setiap pemimpin tiada agenda lain, melainkan kebersamaan, berdiri sama tinggi duduk sama rendah, susah senang bersama.
Mana-mana parti atau individu yang bertanding melawan calon-calon GRS-BN, adalah musuh politik, tiada kompromi mengenainya.
Sebab itu lah menerusi PRU kali ini ditunjukkan kerjasama sebenar antara GRS-BN, walaupun antara dua blok parti itu terdapatnya komponen bermusuhan di Semenanjung.
Hajiji kerap berhujah, para pemimpin perlu bersatu untuk saling mendukung antara satu sama lain agar menjadi ikatan yang kuat, kerana hanya dengan keadah sedemikian politik Sabah menjadi kuat.
Bagi Hajiji, tidak timbul istilah perlawanan persahabatan, dalam konteks menyusun kekuatan, kerana cara sedemikian adalah cara lapok dan usang, dan perlu dinyahkan dalam politik setiakawan.
Pendirian Pengerusi GRS tersebut, tiada istilah bermain di dua kolam, setiap pemimpin atau parti kena jelas pendirian, bersama-sama sebagai satu pasukan, ataupun tidak.
Dalam kerjasama untuk bersatu, tiada unsur tikam menikam, tiada unsur bermain wayang, tiada unsur bermain di belakang tabir, melainkan semua pihak yang bekerjasama kena berterus terang dan jelas.
Pendirian sebenar dan secara umumnya pendirian para pemimpin GRS, dengan sendirinya menjawab kemusykilan yang diutarakan Setiausaha BN Sabah- Datuk Jafry Ariffin berkaitan Parti KDM.
Memang bukan mudah menyatukan pemimpin dalam satu platform, kerana masing-masing mempunyai pendirian, pun demikian kerana faktor tujuan dan matlamat yang sama, boleh terwujudnya kesatuan seperti mana dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kerjasama berpasukan dalam kerajaan negeri menerusi GRS-BN.
Untuk memperkukuhkan ikatan kerjasama, maka unsur-unsur yang meretaknya, perlu dicantas tanpa kompromi.
Kini, setidak-tidaknya Parti KDM telah menunjukkan belang sebenar, yang mengambil kesempatan menyokong kerajaan GRS-BN, sedangkan sokongan parti itu sebenarnya sokong membawa rebah.
Add Comment