KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Labuk, Zainuddin Sabu menyambut baik pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2025 oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Sambil menyambut baik keseluruhan pembentangan Belanjawan Sabah 2025, Zainuddin berkeyakinan belanjawan kali ini cukup baik kerana kerajaan dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah memperkenalkan beberapa bantuan baharu bagi membantu anak Sabah yang melanjutkan pengajian.
Katanya, menerusi usaha itu ia membuktikan kerajaan yang ada pada hari ini sangat mengambil berat terhadap aspek pendidikan iaitu modal insan bagi melahirkan generasi yang kompeten.
“Saya yakin dan percaya peruntukan sebanyak RM127 juta untuk program Biasiswa, Dermasiswa dan Bantuan Pelajar Negeri bukan sahaja memberi manfaat kepada 7,130 pelajar aktif di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara tetapi juga 3,000 pelajar baharu yang disasar mendapat tajaan.
“Sumbangan sebanyak RM300 seorang secara one-off kepada Mahasiswa IPT Dalam Sabah (SENTOSA) pada tahun hadapan juga amat membantu golongan ini, ” katanya.
Selain daripada bantuan-bantuan baharu Zainuddin berkata, bantuan lain seperti Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM26.4 juta turut diteruskan dalam usaha memartabatkan pendidikan secara menyeluruh.
Disamping itu, Zainuddin turut menyambut baik Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan atau Graduan Rindu Sabah SUBFLY sebanyak RM600 kepada setiap pelajar IPT Sabah yang belajar di luar Sabah kerana ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban pelajar terlibat.
“Mereka (pelajar) yang belajar di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tentunya amat gembira dengan bantuan ini yang tentu sekali dapat mengurangkan beban perbelanjaan tiket penerbangan.
“Selain Bantuan Subsidi Tiket, pelajar turut mendapat manfaat daripada Belanjawan Sabah 2025 iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) secara one-off berjumlah RM2,000 kepada setiap pelajar yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah, manakala RM1,500 kepada pelajar di peringkat diploma dan matrikulasi.
“Semua bantuan ini sudah pasti memberi manfaat yang cukup besar terutama mahasiswa dan jelas kerajaan Sabah sungguh komited dalam mengangkat pendidikan dan juga modal insan selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), ” katanya.
–Kenneddy Corlleus
Add Comment