Home » Bandar baharu Seri Milian bakal dibangunkan di Kota Kinabatangan
Berita Tempatan Politik

Bandar baharu Seri Milian bakal dibangunkan di Kota Kinabatangan

USAHASAMA: Joachim (belakang, tengah) menyaksikan pertukaran dokumen diantara Majlis Daerah Kinabatangan yang diwakili oleh Pegawai Eksekutif, Zuldahri Tujoh (kiri) dan Pengarah Urusan Sunmow Construction Sdn Bhd, Kong Chiong Ung.

KOTA KINABALU: Sebuah bandar baharu bakal diwujudkan di Kota Kinabatangan dalam daerah Kinabatangan.

Majlis Daerah Kinabatangan dan Sunmow Construction Sdn, Bhd. telah menandatangani Perjanjian Usahasama bagi Pembangunan Bercampur Bandar Baharu Seri Milian pada majlis yang diadakan di Wisma Innoprise, di sini, kelmarin.

Usahama ini melibatkan kawasan seluas 157.48 ekar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam yang menyaksikan upacara menandatangani perjanjian itu, berharap cadangan pembangunan itu akan membawa faedah kepada rakyat khususnya di Kinabatangan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu menjangkakan pembangunan itu akan menjadi satu pusat pertumbuhan baharu di Kinabatangan yang terancang dan mampu meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitarnya.

Selain itu katanya, pembangunan ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat dengan adanya prasarana baharu, pertambahan peluang pekerjaan dan seterusnya mampu meningkatkan pendapatan serta menaik taraf ekonomi di kawasan setempat.

“Saya difahamkan dalam usaha untuk merealisasikan cadangan usahama ini, beberapa siri mesyuarat, perbincangan telah dibuat di peringkat daerah dan juga kementerian yang melibatkan pihak Majlis Daerah, Pejabat Daerah, agensi-agensi kerajaan lain serta pemegang taruh di daerah Kinabatangan.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas atas usaha anda semua sehingga membuahkan hasil.

“Walaupun ini adalah permulaan tetapi ianya adalah sesuatu yang amat bermakna dan saya pasti semua yang terlibat akan sentiasa memberi perhatian terhadap perkembangan yang dijangka akan membawa kepada kemajuan dan pertumbuhan pesat daerah Kinabatangan,” katanya.

Beliau berharap usaha itu merupakan satu titik permulaan kepada sesuatu yang akan mendatangkan faedah dan dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat di Kinabatangan.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment