Home » Bila Anwar nak tarik balik kenyataan berhubung isu Israel pada 2012?
Berita Dalam Negara Politik

Bila Anwar nak tarik balik kenyataan berhubung isu Israel pada 2012?

Untuk rekod, Anwar yang sebelum bertanding di Port Dickson sudah mengumumkan berpindah kawasan ke Tambun bagi mencabar Faizal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

KUALA LUMPUR – Walaupun cuba menonjolkan diri seorang pembela umat Islam di Palestin, namun sehingga hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim belum menarik kenyataannya berhubung isu Israel yang disiarkan pada 2012 lalu.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Presiden PKR itu jangan terlalu bongkak dengan memuji diri sendiri kononnya pejuang nombor satu Palestin walhal sehingga hari ini umat Islam tidak akan melupakan kenyataan dikeluarkan beliau semasa wawancara dengan Wall Street Journal pada 2012 yang membangkitkan kemarahan ramai.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim mengelak dan langsung tidak menjawab persoalan saya iaitu samada beliau akan menarik balik kenyataan beliau ‘menyokong kesemua ikhtiar untuk membela keselamatan negara Zionis Israel itu daripada apa-apa ancaman keselamatan’.

“Inilah pendirian Anwar kepada akhbar Wall Street Journal dalam tahun 2012 yang membawa kepada kecaman Duta Palestin terhadapnya.

“Mengelak daripada menjawab atau memberi penjelasan yang kabur sudah menjadi ciri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang ramai mengenali,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Ahmad Faizal berkata walaupun sebelum ini pernah ditahan komando Israel semasa misi kemanusiaan pada 2010, beliau tidak pernah menggelar dirinya sebagai pejuang Palestin nombor satu.

“Saya menyeru agar Anwar atau mana-mana pemimpin mengelak dari sifat yang takabbur dengan mengelar diri sebagai Pejuang nombor satu Palestin.

“Saya sendiri telah ditangkap oleh tentera komando Israel pada tahun 2010 bersama 5 orang aktivis Malaysia ketika menaiki kapal flotilla Rachel Corrie untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Tetapi saya tidak pernah menepuk dada dan menggelar diri sebagai pejuang Palestin nombor satu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, penyandang kerusi Parlimen Tambun itu menggesa supaya Anwar menarik balik kenyataan dibuatnya sebelum ini bagi memberi mesej jelas kepada rejim Israel.

“Anwar turut berbangga dalam kenyataannya di Ipoh bahawa beliau kononnya rapat dengan pemimpin Palestin terkemuka Yasser Arafat.

“Jika benar, kenapa susah sangat bagi beliau untuk menarik balik kenyataan kontroversinya yang menyokong jaminan keselamatan kepada Israel manakala yang ditindas dan dibunuh harian adalah rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak?

“Saya menyeru Anwar, sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan untuk segera menyatakan samada beliau akan menarik balik atau tidak kenyataan tersebut. Rejim Israel harus mendapat mesej yang amat jelas bahawa pemimpin negara ini tidak akan berkompromi sama sekali dengan mereka,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Anwar yang sebelum bertanding di Port Dickson sudah mengumumkan berpindah kawasan ke Tambun bagi mencabar Faizal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Berita Bersatu

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment