Home » PAS Sabah sambut baik Belanjawan Sabah 2025
Berita Tempatan Politik

PAS Sabah sambut baik Belanjawan Sabah 2025

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Sabah, Ahmad Dullah

TAWAU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah menyambut baik Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Sabah, Ahmad Dullah berkata Belanjawan Sabah 2025 dilihat lebih mengutamakan pembangunan seimbang dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

Katanya, peruntukan sebanyak RM729.79 juta telah disediakan untuk menaik taraf bekalan air dan jalan raya, terutamanya di kawasan pedalaman seperti Keningau dan Tenom.

“Ia adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu asas yang telah lama membelenggu rakyat di seluruh negeri Sabah.

“Ini bukan sekadar belanjawan, tetapi simbol kesungguhan kerajaan negeri bagi memastikan keperluan asas rakyat dapat dipenuhi dengan lebih efektif dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, belanjawan itu juga memberikan perhatian serius terhadap golongan B40 dengan peruntukan bantuan tunai langsung, subsidi dan program kebajikan yang diyakini dapat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

“Peruntukan RM127 juta untuk biasiswa pendidikan serta peluang pekerjaan baharu dalam sektor ekonomi gig dan keusahawanan digital dilihat dapat memberi manfaat kepada belia di Sabah.

“Inisiatif ini penting bagi membina generasi muda yang lebih berdikari dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya.

Sementara itu, Ahmad menekankan pentingnya pengurusan fiskal yang cekap dan integriti dalam pelaksanaan bajet bagi mengelakkan ketirisan.

“Kita harap bantuan kepada rakyat menerusi peruntukan yang disediakan dalam belanjawan ini dapat disalurkan dengan mudah, tanpa birokrasi yang menyukarkan.

“PAS Sabah akan terus menyokong setiap agenda yang mementingkan kebajikan rakyat dan pembangunan di negeri ini,” katanya,

Menurutnya, apa yang paling penting adalah impak langsung kepada rakyat Sabah, tanpa mengira niat politik pihak tertentu.

“PAS Sabah berharap belanjawan ini akan dilaksanakan dengan amanah selaras dengan keutamaan rakyat Sabah.

“Semoga belanjawan ini menjadi pemangkin kepada negeri Sabah yang sejahtera dengan manfaat dinikmati semua lapisan masyarakat,” katanya.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment