Dr. Joachim menyampaikan ucapannya dalam majlis itu.
KOTA KINABALU: Kedudukan Sabah yang berdekatan dengan ekonomi utama Asia menjadikan negeri ini destinasi pelaburan yang ideal, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, terdapat tiga aspek utama yang menjadikan Sabah rakan kongsi yang menarik untuk pelabur China, termasuk komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan lestari.
“Sabah bukan hanya mencari pertumbuhan – kita mengejar pembangunan lestari yang memelihara warisan semula jadi kita sambil menerima teknologi moden,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Sidang Kemuncak Perniagaan Malaysia (Sabah)-China 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, berkongsi bahawa ekonomi Sabah telah menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan yang mengagumkan.
Dr. Joachim (dua dari kanan) menerima cendera mata dari Phoong.
“Pada tahun 2023, sektor perkhidmatan kita berkembang sebanyak 4.5 peratus, menyumbang kira-kira 51 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), terutamanya dipacu oleh industri berorientasikan pelancongan.
“Kekuatan sektor pelancongan kita jelas melalui angka terkini. Dari Januari hingga Julai 2024, Sabah menerima lebih 700,000 pelawat antarabangsa, dengan pelancong China menjadi segmen terbesar melebihi 200,000.
“Ini mewakili peningkatan luar biasa sebanyak 905.9 peratus berbanding hanya sekitar 26,000 ketibaan dari China dalam tempoh yang sama pada 2023.
Angka ini bukan sahaja mencerminkan hubungan erat antara Sabah dan China tetapi juga menunjukkan potensi besar untuk pertumbuhan lebih lanjut dalam sektor pelancongan kita.”
Selain itu, Dr. Joachim berkata, Kerajaan Negeri komited terhadap inisiatif tenaga boleh diperbaharui yang menawarkan peluang pelaburan yang besar sambil mengekalkan keprihatinan terhadap alam sekitar.
Beliau berkata melalui Pelan Hala Tuju dan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), Sabah mensasarkan untuk mencapai lebih 50 peratus gabungan penjanaan tenaga boleh diperbaharui dari segi kapasiti megawatt (MW) menjelang 2035.
“Ini juga sejajar dengan aspirasi transformasi digital melalui inisiatif Kerajaan Elektronik dan pembangunan infrastruktur digital, mewujudkan persekitaran mesra perniagaan.”
Ketiga, beliau berkata, Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pembangunan modal insan.
“Dengan lebih 90 peratus populasi kita kini mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan asas dan sistem pendidikan yang dipertingkatkan, kita sedang membina tenaga kerja berkemahiran yang bersedia untuk ekonomi masa depan.
“Kerjasama kita dengan rakan kongsi dari China dalam pemindahan teknologi dan latihan kemahiran akan menjadi elemen penting dalam perjalanan ini,” katanya.
Melihat kepada program sidang kemuncak, Dr. Joachim berkata, beliau amat teruja dengan forum yang membincangkan infrastruktur pintar, keselamatan makanan, hubungan pelancongan dan tenaga boleh diperbaharui.
“Semua sektor ini mewakili peluang segera untuk kerjasama antara Sabah dan China.
“Dr. Joachim berkata, kehadiran perniagaan dan pelabur China pada hari ini mencerminkan asas kepercayaan dan kerjasama yang kukuh antara Sabah dan China.
“Sektor pelancongan telah menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa dalam kedatangan pelancong dari China, dan kita bersedia untuk mengembangkan kejayaan ini ke sektor lain.
“Beliau juga menjemput peserta dari China untuk meneroka pelbagai peluang yang dibentangkan semasa sidang kemuncak ini, termasuk taman perindustrian negeri, projek tenaga boleh diperbaharui, inisiatif ekonomi digital dan sektor pelancongan.
“Bersama-sama, kita boleh membina kerjasama yang bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi kita tetapi juga menjadi model kerjasama antarabangsa di rantau ASEAN.
“Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sabah (MIDE), Datuk Phoong Jin Zhe; Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Chan Foong Hin; Setiausaha Tetap MIDE, Datuk Thomas Logijin dan Kaunselor dari Kedutaan China di Malaysia, Li Sa.
— WO
Add Comment