Home » Sabah FC hargai jasa Kim Swee
Berita Tempatan Sukan

Sabah FC hargai jasa Kim Swee

Penghargaan Sabah FC buat Kim Swee. Foto FB Sabah FC

SABAH FC menzahirkan penghargaan kepada ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee yang berjaya memacu The Rhinos melakar kejayaan di pentas bola sepak domestik dan Asia.

Malah kelab menyifatkan kehadiran jurulatih berusia 54 tahun itu sejak 2021 telah memberi impak besar kepada pasukan serta komuniti bola sepak di Sabah.

Pengurus Besar Sabah FC, Md Joh Wid mengucapkan terima kasih di atas segala sumbangan dan komitmen yang telah diberikan oleh pengendali dari Melaka itu.

“Pihak kelab mendoakan kejayaan beliau dalam apa jua bidang dan perjalanan karier yang bakal ditempuh selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook pada Jumaat.

Kim Swee pada Khamis memilih untuk tidak lagi bersama pasukan itu apabila kontraknya berakhir hujung bulan ini.

Aksi pertama Pusingan 16 saingan Piala Malaysia berdepan PT Athletic FC pada Sabtu merupakan perlawanan terakhir beliau sebagai pengendali skuad The Rhinos.

Md Joh menjelaskan bahawa pihak pengurusan telah menerima permohonan Kim Swee untuk tidak menyambung kontraknya bersama kelab yang akan berakhir pada 30 November.

“Permohonan ini telah diteliti dan diterima dengan rasa hormat terhadap keputusan beliau,” katanya.

Justeru beliau menambah, pihak pengurusan akan memulakan proses mencari pengganti sementara yang sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

“Ia bagi memastikan kesinambungan prestasi pasukan dalam menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia tidak terjejas.

“Terima kasih kepada Kim Swee atas segala usaha dan dedikasi. Sabah FC dan seluruh penyokong sentiasa menghargai sumbangan beliau terhadap kejayaan pasukan,” katanya.

Sebagai rekod, sepanjang bersama Sabah FC, Kim Swee memainkan peranan penting dalam pembangunan pasukan dan membawa banyak pencapaian yang membanggakan.

“Beliau berjaya membantu Sabah untuk berada di kedudukan ketiga Liga Super bagi musim 2022 dan 2023, selain membawa pasukan hingga ke peringkat separuh akhir Piala AFC tahun lalu,” ujar Md Joh.

SH