Home » Belanjawan Sabah 2025: Kerajaan diharap dapat selesaikan isu air, jalan raya
Berita Tempatan

Belanjawan Sabah 2025: Kerajaan diharap dapat selesaikan isu air, jalan raya

MERIAH: Suryady bersama penduduk Kampung Tanjung Batu Laut yang hadir dalam program berkenaan.

TAWAU: Belanjawan Sabah 2025 diharap dapat menyelesaikan masalah yang kerap berlaku terutamanya melibatkan isu infrastruktur seperti bekalan air dan jalan raya di daerah ini.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata seluruh rakyat di negeri ini mengharapkan isu infrastruktur diberikan perhatian dan keutamaan sewajarnya oleh pihak kerajaan.

Katanya, belanjawan bertemakan ‘Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’ yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun adalah paling tinggi dalam sejarah iaitu RM6.421 bilion.

“Saya sangat teruja dengan belanjawan yang dibentangkan kali ini kerana memberikan perhatian terhadap ekonomi negeri dan membantu masalah kemiskinan rakyat Sabah.

“Namun, perkara paling penting juga adalah komitmen kerajaan negeri untuk mengatasi masalah bekalan air bersih dan jalan raya yang sudah lama membelenggu rakyat terutamanya di daerah ini,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah berkata demikian ketika ditemui dalam program Turun Padang Perpaduan Sosial, di sini semalam.

Mengulas lanjut, katanya, masalah bekalan air bersih di daerah ini sering terjadi dan baru-baru ini paip bocor berlaku di Taman Muhibbah Raya sehingga menyebabkan catuan terpaksa dibuat selama dua hari.

“Saya mendapat laporan masalah ini terjadi kerana usia paip di kawasan itu sudah lama iaitu lebih 35 tahun dan saiz paipnya juga tiada dijual di pasaran.

“Justeru, sudah tiba masanya kerajaan mengambil perhatian mengenai paip-paip lama supaya dapat ditukar dengan yang baharu,” katanya.

Suryady turut menyuarakan mengenai kerosakan jalan raya dari Merotai ke Kalabakan yang berada dibawah jagaan kerajaan negeri supaya dapat dibaiki dengan segera.

“Saya faham penyelenggaraan jalan berkenaan mempunyai jadual secara berkala, tetapi dengan keadaan cuaca dan muatan trafik yang semakin bertambah menyebabkan jalan berkenaan sudah rosak teruk.

“Keadaan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya dan saya harap pihak konsesi yang dilantik dapat memantau serta menyelenggara jalan berkenaan dengan lebih kerap,” katanya.

Sementara itu, Suryady menzahirkan kegembiraan kerana melalui Belanjawan 2025, semua peniaga kecil tepi jalan akan diberikan bantuan tunai ‘one off’ sebanyak RM5,000.

“Selain itu, menyediakan peruntukan sebanyak RM358.5 juta iaitu bantuan RM300 sebulan untuk tempoh setahun kepada golongan miskin dan miskin tegar menerusi ‘Program Sentuhan Kasih Rakyat’.

“Semua bantuan-bantuan itu adalah tanda keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri dalam membasmi kemiskinan di Sabah,” katanya.

Mengulas mengenai program ini pula, Suryady berkata ia adalah insiatif yang baik daripada Kementerian Belia dan Sukan Sabah dalam usaha merapatkan silaturrahim semua penduduk kampung.

“Banyak aktiviti dan sukan rakyat dijalankan melibatkan semua penduduk Kampung Tanjung Batu Laut daripada golongan kanak-kanak sehingga warga tua.

“Saya melihat penerimaan penduduk kampung sangat memberangsangkan dan program seperti ini perlu sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

UB

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment