Home » Salah faham konsep taat punca tidak lapor keganasan rumah tangga
Berita Am Berita Dalam Negara

Salah faham konsep taat punca tidak lapor keganasan rumah tangga

AMIRUDIN (tengah) melakukan gimik pelancaran Kempen 16 Hari Menentang Keganasan Terhadap Wanita Dan Kanak-Kanak. Turut hadir Anfaal (kiri). FOTO Bernama.

Shah Alam: Salah faham konsep taat membuatkan ramai wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga tidak melaporkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, konsep tersebut dimanipulasi segelintir golongan lelaki agar wanita ‘merelakan’ jenayah berkenaan termasuk dalam penderaan dari segi mental.

Katanya, ini ditambah dengan sistem sosial atau budaya patriarki iaitu lelaki lebih mendominasi dengan sekiranya golongan wanita ingin menuntut hak mereka dianggap derhaka.

“Jadi agama itu digunakan namun tidak boleh dijadikan asas sebab dalam al-Quran juga menyebut bahawa lelaki itu adalah pelindung.

“(Kalau) pukul sepatutnya adalah tujuan mendidik dan sangat ringan serta tidak sampai berbekas kepada kulit isteri dan ahli keluarganya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Kempen 16 hari Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak di sini, hari ini.

Kempen berkenaan dilancarkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Anfaal turut menegaskan golongan agama termasuk ulama perlu menginteprestasi secara tepat mengikut konteks dan mendidik isu keganasan rumah tangga kepada golongan isteri.

Katanya, sebanyak 813 kes keganasan rumah tangga dilaporkan sepanjang lapan bulan tahun ini di Selangor.

“Statistik ini membimbangkan dengan daerah Gombak mencatatkan kes tertinggi sebanyak 147 kes.

“Ini menandakan perlunya tindakan kolektif dan kerjasama semua pihak dalam menangani isu itu,” katanya.

HM