Home » Saya tekankan soal kebolehpercayaan, integriti, cakap kena tunaikan
Berita Dalam Negara

Saya tekankan soal kebolehpercayaan, integriti, cakap kena tunaikan

Sebagai seorang tokoh pemimpin berpengalaman, Muhyiddin mengakui sering mendengar masalah dan kesusahan dihadapi rakyat.

KUALA LUMPUR – Soal kebolehpercayaan dan integriti menjadi dua ‘bahan’ utama bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk sekali lagi memimpin negara sekiranya diberi kepercayaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang pernah menjadi Perdana Menteri pada tempoh paling sukar sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara berkata, kebolehpercayaan dan integriti penting bagi membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi.

Sebagai seorang tokoh pemimpin berpengalaman, Muhyiddin mengakui sering mendengar masalah dan kesusahan dihadapi rakyat.

Jelas beliau yang juga calon Perdana Menteri PN, rintihan rakyat itu lebih kuat kedengaran sekarang walaupun negara sedang berada dalam fasa pemulihan selepas Covid-19.

Bukan mahu mendabik dada, namun bekas Perdana Menteri itu berkata, rekod dan prestasi sepanjang menjadi wakil rakyat serta seketika sebagai Perdana Menteri jelas membuktikannya.

“Rakyat jumpa saya mengadu tentang bagaimana nak hidup, bukan soal nak kaya kerana ramai yang sudah terjerumus dalam kancah kemiskinan ketika ini.

“Dapat RM100 pun amat bermakna bagi mereka, apa lagi kalau RM1,000 atau RM2,000. Boleh ke dia (pihak lain) buat macam itu? Siapa nak bagi duit?

“Saya dah dididik sejak kecil, bercakap jangan bohong, (itu) berdosa. Bila cakap mesti tunaikan, tak tunaikan itu mungkir janji.

“Bukan saya mahu mendabik dada dengan rekod saya tetapi apabila saya cakap, saya akan buat.

“Jadi, kalau rakyat tak percaya dengan ‘Abah’ itu tak tahu lah. Ikutkan ‘Abah’ itu orang tua, jadi kena ikut nasihat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual, baru-baru ini, lapor Utusan TV, tadi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau amat memahami masalah yang dihadapi rakyat ketika ini apatah lagi negara masih berhadapan pelbagai isu yang disifatkannya kritikal.

Kata beliau, usaha lebih keras amat diperlukan untuk kembali melonjakkan negara dalam tempoh terdekat.

“Dahulu bila saya kata tutup, duduk rumah jangan pergi ke mana-mana, Alhamdulillah semua dengar dan kita pulih.

“Rakyat Malaysia berdisiplin dan dengar kata pemimpin yang tahu apa yang terbaik, maka Alhamdulillah sekarang kita hampir pulih. Belum sepenuhnya tetapi sudah kembali ke sedia kala.

“Bagi saya masa amat penting kerana sekarang tiada lagi kelebihan dari soal masa. Semasa saya muda, orang gelarkan saya ‘young man in a hurry’. Sekarang ‘old man in a hurry’. Masa bukan di pihak kita, jangan kena usaha keras,” jelas beliau.

Berita Bersatu