Home » Perkara pokok kehidupan rakyat agenda utama PN
Berita Dalam Negara Politik

Perkara pokok kehidupan rakyat agenda utama PN

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, manifesto PN menjadikan tiga perkara pokok sebagai agenda utama iaitu Prihatin, Bersih, Stabil (PNBEST).

SUNGAI BESAR – Perikatan Nasional (PN) akan menjadikan ‘bread and butter issues’ iaitu perkara-perkara pokok menyentuh soal kehidupan rakyat sebagai agenda utama jika gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesti ada kesedaran dan tanggungjawab serta ‘sense of urgency’ untuk tidak berlengah dalam memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Negara kita belum pulih sepenuhnya daripada pandemik COVID-19. Jika kerajaan yang dibentuk selepas PRU-15 tidak tahu mengenai nasib rakyat, maka keadaan akan menjadi lebih sukar,” katanya melalui Facebook beliau semalam.

Muhyiddin malam tadi menghadiri Jelajah Prihatin Parlimen Sungai Besar di Dataran Desa Permai, Sungai Besar, Selangor.

Beliau berkata, pertemuan dengan penduduk Sungai Besar khususnya para pengundi di kawasan itu amat penting untuk memberi maklumat tentang situasi negara yang kritikal dalam menghadapi PRU-15.

“Kita hendak membentuk sebuah kerajaan yang baik, beramanah, bertanggungjawab, prihatin tentang nasib rakyat, yang tahu denyut dan nadi rakyat. Mampukah Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan selepas 19 November ini?

“Moga kita mampu kerana jika berjaya, kita akan dapat meneruskan kerja-kerja mengurus hal rakyat yang belum selesai, sewaktu 17 bulan pemerintahan PN, ketika saya menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, manifesto PN menjadikan tiga perkara pokok sebagai agenda utama iaitu Prihatin, Bersih, Stabil (PNBEST).

“Prihatin – cukup sinonim dengan Kerajaan Perikatan Nasional kerana kita memang menitik-beratkan masalah rakyat dan cara hendak meringankan beban mereka. Bersih pula memastikan semua calon kita bebas rasuah dan bersumpah untuk tidak menyalah guna kuasa atau mengambil duit rakyat walau sesen pun. Hanya dengan Kerajaan yang prihatin dan bersih, kestabilan negara dapat dikecapi,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihat rakyat jangan hanya menggunakan hak sebagai pemilih untuk mengundi begitu sahaja tetapi laksanakannya dengan penuh bertanggungjawab bagi memilih pemimpin dan kerajaan yang baik dan amanah.

Berita Bersatu