Home » GRS lancar manifesto PRU15 mengandungi 4 teras, 13 tunjang utama
Berita Tempatan Politik

GRS lancar manifesto PRU15 mengandungi 4 teras, 13 tunjang utama

Manifesto GRS berpandukan empat teras perjuangan yang meliputi ‘Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu)’.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan manifesto yang mengandungi empat teras dan 13 tunjang utama.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata, GRS akan meneruskan komitmen melaksanakan agenda Sayangi Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Aku Janji GRS yang telah kita tawarkan sebagai Manifesto Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) yang lalu. 

“Komitmen kita telah diterjemahkan dengan penjajaran agenda Sayangi Sabah dan Aku Janji GRS di dalam dokumen pelan pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang telah diperkenalkan pada 29 Mac 2021, genap enam bulan setelah kita memperolehi mandat rakyat,” katanya ketika merasmikan pelancaran manifesto GRS itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hajiji Haji Noor

Menurut beliau, manifesto ini yang berpandukan empat teras perjuangan GRS yang meliputi ‘Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu)’. 

“Ia merangkumi 13 tunjang utama dan digubal dengan mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh kita semua,” katanya.

Katanya, dengan berpandukan empat teras perjuangan GRS ini, maka manifesto ini bermula dengan;

13 tunjang utama

▪ Pertama: Memperkasakan ekonomi negeri dan rakyat Sabah menerusi tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan – antaranya kita akan menarik lebih ramai pelabur untuk membangunkan sektor pertanian (huluan), memantapkan jaminan keberhasilan petani, nelayan dan penternak, menggalakan pertanian moden, menubuhkan pusat pemasaran sektor pertanian dan pemberian insentif. Dalam sektor perindustrian pula, kita akan menarik pelaburan untuk meningkatkan pengeluaran dan memacukan pertumbuhan ekonomi.  Manakala dalam sektor pelancongan, kita akan memanfaatkan kekayaan flora dan fauna, menggalakkan penglibatan usahawan dalam agropelancongan, memperkenalkan produk baharu pelancongan, sekaligus menarik lebih ramai pelancong dari luar datang ke Sabah.

▪ Kedua: Memperkasakan pengurusan sumber tenaga untuk Kerajaan Negeri Sabah mengambil semula pengurusan SESB. Disamping meneroka lebih banyak sumber tenaga baharu atau tenaga yang boleh diperbaharui, khususnya yang berasaskan teknologi hijau, bagi memastikan bekalan tenaga yang mesra alam serta mencukupi.

▪ Ketiga: Meneruskan usaha tuntutan ke atas hak-hak negeri Sabah daripada Persekutuan – GRS akan meneruskan usaha menuntut hak-hak berdasarkan artikel 112 (b), 112 (c) dan Jadual 10 Perlermbagaan Persekutuan  dan berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63)

▪ Keempat: Memastikan kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab dalam mempertingkatkan tahap keselamatan di Sabah, khususya dalam kawasan Esszone, mempertingkatkan fasiliti pendidikan dengan menaiktaraf sekolah-sekolah yang serba daif, serta menambah baik kemudahan kesihatan di seluruh negeri.

▪ Kelima: Pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat – terus memperkasa wanita dalam bidang keusahawanan, lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar, memelihara kebajikan ibu tunggal dan balu, menyediakan bantuan berterusan kepada ibu-ibu tunggal, orang kelainan upaya dan warga emas.

▪ Keenam: Menggalakkan penglibatan belia dalam arus pembangunan negara – menyediakan peruntukan khas belia dalam bidang keusahawan, menambah bilangan penglibatan belia sekurang-kurangnya 30 peratus dalam pengubalan dasar

▪ Ketujuh: Memperkasakan urus tadbir perkhidmatan awam Sabah – antaranya meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, menambah baik kemudahan perkhidmatan awam, menubuhkan dana amanah pencen, ganjaran pemberian khas dan  menyediakan kuota khas kepada anak-anak Sabah menyertai perkhidmatan awam Persekutuan dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD)

▪ Kelapan: Meningkatkan penglibatan dalam industri minyak dan gas – memastikan penglibatan Sabah secara total dan berterusan dalam industri berkenaan, dimana Sabah menjadi rakan kongsi kepada Petronas.  Pada masa sama, memastikan perkongsian pintar itu mampu menjana keuntungan.

▪ Kesembilan: Memberi keutamaan kepada pelaksanaan prasarana kemudahan asas – dalam aspek naik taraf jalan raya seluruh Sabah, membina dan menaiktaraf loji air, pembinaan Pan Borneo disegerakan

▪ Kesepuluh: Menyediakan kemudahan perumahan raktat – mempercepatkan pelaksanaan Program Rumah Mesra SMJ sebanyak 1,500 buah dan meneruskannya, menyediakan lebih banyak perumahan rakyat.

▪ Kesebelas: Memperbaiki pengurusan tanah – memastikan pengeluaran geran bagi permohonan tanah rakyat dipercepatkan, menubuhkan Native Land Foundation untuk melindungi Hak Anak Negeri Sabah dan mempercepatkan pengeluaran geran rizab kampung

▪ Keduabelas: Kestabilan politik, perpaduan kaum, keadilan dan kesejahteraan rakyat – memperhebatkan usaha memupuk perpaduan antara masyarakat di Sabah merentasi agama, kaum dan budaya, memastikan kekebasan Beragama berasaskan Perlembagaan Persekutuan dipertahankan, menuntut kerajaan Persekutuan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi Wilayah Sabah dengan kuasa-kuasa signifikan dan memastikan peruntukan pembanginan daripada Persekutuian disalurkan terus kepada kerajaan negeri untuk diurustadbir

▪ Ketigabelas: Meneruskan usaha menuntut agar kawasan Parlimen di Sabah ditambah – GRS akan menyambung usaha untuk mendapatkan semula penguasaan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak sehingga berjaya

Pencapaian

Pada Oktober lalu, genap dua tahun Kerajaan GRS + BN melaksanakan mandat rakyat. Alhamdulillah, sepanjang tempoh tersebut, banyak pencapaian yang telah berjaya kita lakar bersama. Kekangan masa membataskan saya untuk membentangkan satu persatu, namun suka saya berkongsi beberapa contoh utama:

▪ Pertama, meningkatkan hasil negeri melalui fokus dan ketegasan kita dalam memastikan semua pihak berkaitan menunaikan komitmen dan mengelakkan ketirisan.

▪ Kedua, merintis pencapaian awal dengan peningkatan kuasa, penyertaan dan perkongsian hasil dalam industri minyak dan gas kita melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS. Selain itu, PETRONAS juga telah mula menunaikan komitmen penuh pembayaran Cukai Jualan Negeri (CJN) bermula tahun lalu.

▪ Ketiga, melaksanakan pendekatan mesra pelabur dan berjaya meningkatkan kadar kemasukan pelaburan asing dan domestik sekali gus membuka peluang pekerjaan. Sabah merekodkan pelaburan asing berjumlah RM12 bilion dan pelaburan domestik berjumlah RM942 juta bagi tempoh Januari hingga October 2022 berdasarkan laporan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

▪ Keempat, mengusahakan peningkatan 4 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta kadar Pemberian Khas Persekutuan bermula tahun ini sebagai komitmen awal Kerajaan Persekutuan sehingga formula muktamad diputuskan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Jumlah kenaikan yang diperolehi ini akan kita terus kembalikan kepada rakyat melalui pelaksanaan inisiatif baharu iaitu pembinaan 1,500 unit Rumah Mesra SMJ.

▪ Kelima, memperolehi kuasa pengeluaran permit dan lesen bagi kapal dan peralatan penangkapan ikan laut dalam Zon C2 di perairan Sabah.

▪ Keenam, meningkatkan usaha pengurusan khazanah hutan dan kelestarian hijau

▪ Ketujuh, memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu melibatkan pembangunan generasi muda seperti bantuan pendidikan, latihan kepimpinan dan banyak lagi. Ini termasuk bantuan untuk pelajar golongan B40 seperti  Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI) membabitkan jumlah RM1,500 kepada  pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dan Matrikulasi, manakala sebanyak RM2,000 untuk pengajian di peringkat Ijazah. Dijangka seramai 5,000 pelajar akan menerima faedah bantuan ini dengan peruntukan sebanyak RM10 juta. Selain BUDI, bantuan pendidikan lain adalah bantuan seperti BAIK, BAKTI, BISBAH dan BISTARI. Kerajaan terus komited untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) dan sejumlah  RM61.8 juta diperuntukkan bagi latihan, kursus dan pembangunan ICT.

▪ Kelapan, Pelaksanaan Pembinaan Rumah Mesra SMJ yang saya telah lancarkan pada September lalu untuk mereka yang tidak memiliki rumah dalam kalangan rakyat kategori miskin tegar. Rumah ini sedang dibina di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, membabitkan pemberian khas untuk Sabah berjumlah RM125.6 juta yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan.

▪ Kesembilan, berjaya menarik pelaburan baharu melalui perjanjian MoU bernilai RM20 bilion ke Sabah. Pelaburan-pelaburan baharu ini tertumpu kepada Sabah Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) di Sipitang yang diurus oleh agensi kerajaan negeri, Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd.

▪ Kesepuluh, Kerajaan Negeri dijangka mengutip dalam lingkungan RM2.45 bilion setahun secara berterusan royalti dan bayaran SST daripada sektor minyak dan gas berikutan kemasukan Petrochemicals (PetChem) dalam enakmen SST baru-baru ini,

▪ Kesebelas, penyerahan kuasa ke atas pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Kerajaan Negeri (pembatakan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 289)

▪ Keduabelas, Pelaksanaan projek-projek yang sedang dilaksanakan seperti projek Lebuhraya Pan Borneo, projek jalanraya luar bandar dan lain-lain project infrastuktur yang sedang dilaksanakan.

▪ Ketigabelas, Kerajaan Negeri telah menubuhan Unit Tenaga Negeri Sabah di Jabatan Ketua Menteri untuk mengurus perkhimatan perbekalan letrik sementara proses penubuhan Suruhanjaya Tenaga pada tahun hadapan untuk mengambilalih SESB berhubung kawal selia bekalan letrik di Sabah.

Pendekatan pragmatik hasilkan kejayaan

Ketua Menteri berkata, pendekatan pragmatik GRS ini mampu menghasilkan kejayaan yang membanggakan kepada pembangunan ekonomi negeri dan rakyat, justeru, kejayaan ini wajar diteruskan.

“Atas kejayaan demi kejayaan yang dicapai, mandat yang diberikan rakyat kepada GRS-BN dalam PRN16lalu perlu diteruskan pada PRU15 ini.  Uniknya bagi kita di Sabah, kerjasama GRS dan BN bukan sahaja berjaya mewujudkan keharmonian dan kestabilan, malah dapat kita membangunkan negeri ini serta melindungi kepentingan hak rakyat seluruhnya,” kata Hajiji.

“Kita sendiri mengakui bahawa Sabah masih jauh ketinggalan meski pun telah berlaku kemajuan dan perubahan.  Ini bermakna, kita perlu bekerja lebih keras dan cerdas, pantas dan tangkas demi membawa Sabah maju ke mercu kejayaan yang boleh kita banggakan!

“Justeru, marilah bersama-sama mengekalkan momentum kejayaan ini agar kejayaan lebih besar dapat kita capai demi membina negeri dan negara yang makmur dan permai.  Kita boleh melakukan itu semua jika kita bersatu padu, kerana hanya dengan perpaduan kita akan menjadi kuat.  Kita juga akan dihormati sekiranya kita kuat dan bersatu dalam membawa suara dan perjuangan negeri dan rakyat. Permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk kita di Sabah. Permuafakatan ini amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia.

“Terjemahkan manifesto kita kepada Sabah dengan kesediaan untuk meletakkan kepentingan besar negeri mengatasi kepentingan diri dan kumpulan. Sedarlah bahawa kuasa politik itu adalah mandat dan amanah daripada rakyat untuk memperjuangkan nasib mereka dan masa depan negeri tercinta.

“Sesungguhnya, manifesto persembahan GRS ini meletakkan kepentingan negeri dan rakyat secara keseluruhannnya.  Apa yang ditawarkan dalam Manifesto ini juga adalah kejayaan yang telah kita capai selama dua tahun pemerintahan, dan akan diteruskan demi kepentingan seluruh rakyat.

“Ayuh!! Marilah kita bersatu hati, bertekad cemerlang dan terus berjuang demi meletakkan Sabah di puncak kejayaan!” seru Hajiji.

Turut hadir Timbalan-timbalan Pengerusi GRS – Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Yong Teck Lee yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) serta para pemimpin lain dan juga calon-calon.

EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment