Home » Usahawan wanita disaran rebut peluang tingkat ilmu perniagaan 
Berita Tempatan Politik

Usahawan wanita disaran rebut peluang tingkat ilmu perniagaan 

LAWAT: Juliah (dua kiri) diiringi JHEWA Sabah Haslina Ismail (kiri) ketika melawat tapak jualan sempena Majlis Penutupan Program Keusahawanan JHEWANITA 2022.

TUARAN: Usahawan wanita di Sabah perlu merebut peluang yang disediakan kerajaan bagi melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan selok-belok dunia perniagaan.


Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Juliah Salag yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berkata, bidang keusahawanan memerlukan komitmen yang tinggi.


Justeru katanya, pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran amat penting dalam membantu usahawan menentukan hala tuju perniagaan mereka. 


Juliah berkata, kerajaan negeri memperuntukkan jumlah yang besar untuk pembangunan wanita di negeri ini, termasuklah dalam bidang keusahawanan tahun ini.


“Dalam Belanjawan Negeri 2022, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM17.61 juta untuk pelaksanaan program pembangunan wanita termasuk RM5.8 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) manakala, RM11.8 juta peruntukan disalurkan kepada Yayasan Usaha Maju (YUM).


“Usaha yang diambil kerajaan menerusi peruntukan ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan wanita khususnya dalam bidang keusahawanan. 


“Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan dana pembiayaan berjumlah RM230 juta bagi meningkatkan kapasiti perniagaan usahawan wanita tahun ini. Antaranya melalui program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tekunita menerusi Tekun Nasional (TEKUN),” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Program Keusahawanan JHEWANITA 2022 di Dewan Kebudayaan Bajau Samah di sini hari ini.


“Sesuai dengan pengisian program pada hari ini, semua agensi yang terlibat dalam bidang keusahawanan dibawa untuk menyampaikan perkhidmatan yang disediakan kerajaan dalam pemerkasaan usahawan di negeri Sabah.


“Justeru, peluang yang disediakan kerajaan ini perlu diambil sepenuhnya oleh usahawan wanita di negeri ini, khususnya ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah,” katanya.


Sementara itu, Juliah berkata, wanita bukan sahaja memainkan peranan utama dalam pembentukan generasi akan datang malah mampu menjadi penyumbang kepada ekonomi keluarga.


Beliau juga sentiasa menyokong dan menyeru kepada semua wanita agar sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu serta teruskan usaha murni untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga dan seterusnya menjadi usahawan yang berjaya.


“Bidang keusahawanan dilihat sebagai bidang yang dapat meningkatkan ekonomi negara, daya saing negara, pendapatan individu, mengatasi masalah kemiskinan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan kualiti kehidupan.


“Saya mendapati penglibatan golongan wanita semakin aktif dengan pelbagai aktiviti keusahawanan. Ada dalam kalangan mereka yang telah mula berniaga atas inisiatif sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak.


“Kita amat gembira dengan usaha dan perkembangan positif ini,” katanya sambil menambah adalah menjadi hasrat kerajaan agar lebih ramai menceburi bidang keusahawanan. 

– – Siti Aisyah Narudin