Home » Biar pemimpin bersaing secara sihat, bantu rakyat: Khairul Firdaus
Berita Tempatan Politik

Biar pemimpin bersaing secara sihat, bantu rakyat: Khairul Firdaus

Menurut Khairul Firdaus, fokus pemimpin adalah memajukan rakyat dan bukan bertelagah sesama sendiri.

SANDAKAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan menyeru rakyat untuk bijak memilih pemimpin dan biar pemimpin bersaing secara sihat untuk membantu rakyat.


“Kedua-dua DUN (Dewan Undangan Negeri) di Parlimen Batu Sapi sudah diwakili oleh Parti Warisan Sabah (WARISAN).


“Jadi beri peluang sama orang lain pula yang memang sudah lama membantu dan berjuang untuk rakyat di Batu Sapi, untuk membantu rakyat di peringkat Parlimen.


“Kita bersaing secara sihat, untuk majukan rakyat,” katanya semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Pengundi di Kampung Istimewa Laut di sini, hari ini.


Menurut Khairul Firdaus, fokus pemimpin adalah memajukan rakyat dan bukan bertelagah sesama sendiri.


“Kita kerja untuk bantu rakyat, di peringkat DUN dan di peringkat Parlimen. Buat apa mau gaduh rebut-rebut, kita buat kerja sama-sama, fokus, sebab kita sayang semua rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khairul Firdaus turut mengingatkan para pengundi untuk meneliti dan membuat pilihan tepat bagi memastikan usaha pembangunan berjaya diterjemahkan semaksimumnya.


“Jangan salah pilih pemimpin, nanti kamu sendiri yang sakit, tidak ada perubahan. Pilih pemimpin yang mampu bantu rakyat, jangan lihat pertalian saudara atau apa tapi kita lihat keperluan rakyat dan apa yang mesti dilakukan untuk majukan rakyat,” ujar beliau lagi.


Terdahulu, Khairul Firdaus turut meluangkan masa melawat Pusat Pengundian Awal di Dewan Sukan Mohd Azim, Kem Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Taman Samudera, Sandakan.

Kenneddy Corlleus