Home » Thomas Lau layak menang kerusi Parlimen Sandakan
Berita Tempatan Politik

Thomas Lau layak menang kerusi Parlimen Sandakan

Hajiji (kiri) berkata, beliau kenal kapitan ini sewaktu menjadi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dahulu di mana Thomas Lau (kanan) ketika itu ialah Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan calon GRS bagi kerusi Parlimen Sandakan Kapitan Thomas Lau, sebagai layak, berpengalaman dan mampu membawa perubahan di Sandakan.

“Jika beliau mendapat mandat dalam pilihan raya umum yang akan diadakan pada Sabtu ini, saya yakin dengan pengalamannya beliau dapat membantu mengubah Sandakan menjadi bandar lebih maju,” katanya.

Calon GRS bagi kerusi Parlimen Sandakan Kapitan Thomas Lau

Hajiji berkata, beliau kenal kapitan ini sewaktu menjadi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dahulu di mana Lau ketika itu ialah Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

“Orangnya berpengalaman. Beliau mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) dan setelah berbincang dengan Presiden SAPP, saya tidak ragu merestui kapitan Thomas Lau menjadi calon kita di Sandakan,” katanya di majlis Ceramah Perdana Sandakan Ketua Menteri Bersama Rakyat di Dewan Hakka Sandakan, di sini, malam Rabu.

Dengan pengalaman yang luas, beliau percaya dengan visi Lau yang berpandangan jauh untuk membangunkan ekonomi Sandakan nanti.

“Jadi kita kena pilih beliau kerana beliau adalah calon Kerajaan Negeri. Kalau pilih orang lain tidak mungkin boleh mengangkat masalah dan permintaan daripada masyarakat Cina di Sandakan kepada kerajaan negeri atau persekutuan,” tegasnya.

Hajiji juga memuji calon Kerusi Parlimen Semporna itu yang dianggapnya pintar apabila bercerita mengenai Sabah.

Sementara itu, Thomas Lau, dalam ucapannya di majlis yang sama , berkata beliau berazam untuk memberikan yang terbaik dan tidak akan berbohong semata-mata demi meraih undi. Beliau komited membawa daerah Sandakan lebih maju ke hadapan melalui 5 visi utamanya

“Yang pertama, saya ingin kerajaan negeri dan persekutuan kembali membangunkan ekonomi Sandakan dengan membentuk satu jawatankuasa supaya dapat mencadangkan dan melaksanakan yang terbaik untuk Sandakan.

“Yang kedua, mewujudkan pusat rekreasi keluarga di Sandakan. Saya sudah mengenalpasti satu tapak di Sim-Sim untuk dibangunkan, kita akan timbus pasir putih untuk mewujudkan pantai dan dari sana kita boleh melihat Pulau Berhala,” katanya.

Melalui maklum balas dari penduduk setempat, Lau turut menyatakan komitmen mahu menaiktaraf dua pasar utama di kawasan Parlimen Sandakan iaitu Pasar Elopura dan Pasar Kim Fung sekiranya beliau diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Sandakan.

Beliau juga ingin nasib golongan belia dibela menerusi pewujudan kolej teknikal yang mampu melahirkan graduan berdaya saing serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan sekaligus mengurangkan penghijrahan golongan itu ke Semenanjung, Singapura dan Brunei.

Calon berjiwa rakyat itu juga berazam merealisasikan impian rakyat Sandakan yang mahu Pusat Transformasi Bandar (Urban Transformation Centre) diwujudkan di daerah ini.

“Ini adalah sebahagian kecil daripada misi dan visi saya sekiranya diberi kepercayaan oleh masyarakat Sandakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

“Dengan pengalaman yang luas dalam pelbagai bidang termasuk pentadbiran pihak berkuasa tempatan dan perniagaan, saya sedia menawarkan khidmat untuk membangunkan Sandakan dan rakyat secara keseluruhannya ke tahap yang jauh lebih baik,” jelasnya.

EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment