Home » Ketua cawangan Warisan sertai Bersatu di Beluran
Berita Tempatan Politik

Ketua cawangan Warisan sertai Bersatu di Beluran

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Tengah) menerima borang keahlian serti Bersatu daripada Ismail Butai (kanan) dan Kamri Juhari (Kiri).

BELURAN: Seorang Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan Ketua Cawangan Parti Warisan di Beluran keluar parti itu dan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Beluran.

Ismail Butai, 63, Ketua PDM Warisan Klagan dan Kamri Juhai, 73, Ketua Cawangan Warisan Bukit Besi menyerahkan borang keahlian kepada Dr Ronald dalam satu program di Kampung Bukit Besi, pada Khamis.

Dr Ronald adalah Ketua Bahagian BERSATU Beluran.

Bagi mereka, keperibadian dan jasa Dr Ronald melaksanakan pembangunan di Beluran khususnya di kampung Bukit Besi menjadi faktor untuk menyokong beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ini.

Ismail berkata, keputusan menyokong Ronald dan menyertai BERSATU disebabkan keperibadian dan keikhlasannya membantu rakyat serta rekod pelaksanaan pembangunan yang berterusan di Beluran.

Katanya, di Kampung Bukit Besi antara bantuan dan pembangunan secara terus dibawa oleh Ronald adalah bantuan enjin bot kepada nelayan, jambatan dan pembinaan dewan.

“Selain itu, Datuk juga ikhlas membantu rakyat. Saya antara yang dibantu ketika saya menguruskan rawatan kesihatan anak menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur,” katanya.

Bagi Kamri, dia membuat keputusan menyertai BERSATU dan memberikan sokongan kepada Ronald kerana hilang keyakinan terhadap WARISAN dalam aspek melaksanakan pembangunan di Beluran dan membela nasib rakyat.

“Sudah lama saya mahu menyertai BERSATU dan memberikan sokongan kepada Ronald. Pada PRU Ke-15 ini, saya jadikan ia kenyataan dan menyokong kuat beliau serta memastikan kemenangannya pada Sabtu ini.

Bagi kerusi Parlimen Beluran, Ronald sebagai penyandang ditentang calon Benedict Asmat daripada Barisan Nasional, Rowiena Rasid daripada Parti Warisan, Hausing Samsudin @ Sudin (Pejuang) dan Felix Joseph Saang daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mewakili Pakatan Harapan.

EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment