Home » Penutupan Bulan Keusahawanan Sabtu ini
Berita Tempatan

Penutupan Bulan Keusahawanan Sabtu ini

Khatijah (empat dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Toh Puan Norlidah. 

KOTA KINABALU:  Majlis Penutupan Bulan Keusahawanan sempena sambutan Bulan Keusahawanan Antarabangsa akan diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabtu ini.

Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Bumiputera Sabah (IKSnita)Sabah, Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal berkata, program yang dilaksanakan bersama Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) UMS itu diadakan sebagai perkongsian ilmu di antara para pengusaha tempatan dan pelajar UMS.  

“Program yang berlangsung sepanjang bulan November ini memberi penekanan mengenai pelbagai program dan aktiviti keusahawanan bertujuan bagi merealisasikan aspirasi dan potensi keusahawanan agar dapat melahirkan lebih ramai lagi graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang sebagai pencipta pekerjaan.

Toh Puan Norlidah (tengah) ketika menerima kunjungan rombongan IKSnita dan kakitangan UMS di Dewan Utama Istana Seri Kinabalu.

“Dijangka seramai 200 pelajar UMS dari pelbagai jurusan dan 100 usahawan wanita akan menghadiri majlis penutupan tersebut yang bermula pada jam 10 pagi,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin. 

Tambah Khatijah, tujuan kunjungan adalah bagi menjemput Toh Puan Norlidah hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis penutupan berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Presiden IKSnita Sabah, Datuk Paduka Rehan Rahim; Wanita Inspirasi IKSnita Sabah, Datin Saadiah Abdul Rashad; Timbalan Pengarah PKPKP UMS, Dr. Nur Thara Atikah Zainal serta Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, Dr. Jakaria Dasan.

wartaoriental