Home » Pusat Perlindungan Sementara untuk atasi isu kanak-kanak jalanan yang berkeliaran, mengemis
Berita Tempatan

Pusat Perlindungan Sementara untuk atasi isu kanak-kanak jalanan yang berkeliaran, mengemis

Abidin Madingkir

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan mengambil langkah menyelamat dengan mewujudkan Pusat Perlindungan Sementara di setiap daerah yang dikenal pasti bagi mengatasi isu kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, Pusat Perlindungan Sementara ini akan diselia oleh Kerajaan Negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am serta dibantu oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pilot projek akan dilaksanakan di Kota Kinabalu di mana Kerajaan Negeri telahpun mengenal pasti sebuah rumah kerajaan yang tidak lagi didiami untuk dijadikan sebagai Pusat Perlindungan Sementara. 

“Peruntukan segera sebanyak RM250 ribu telahpun disediakan untuk tujuan pengubahsuaian rumah berkenaan agar bersesuaian dengan konsep Pusat Perlindungan Sementara. 

“Pusat perlindungan ini dijangka akan mula beroperasi pada penghujung tahun ini, katanya ketika menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Ewon bertanya apakah usaha Kerajaan untuk membanteras isu kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis di jalan raya dan lampu trafik di sekitar Kota Kinabalu.

Dari segi konsep, Abidin menjelaskan, sasarannya adalah kanak-kanak Palauh secara bersama dengan penjaga atau berasingan akan diselamatkan semasa operasi yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara berjadual dan bersasar. 

“Kanak-kanak jalanan ini akan dihantar ke Pusat Perlindungan Sementara untuk pengasingan dalam tempoh maksima sehingga tiga bulan. 

“Pusat ini akan menyediakan program khas yang menerapkan kemahiran mengenai pengurusan diri, kehidupan bermasyarakat dan pembelajaran rohani secara tidak rasmi. Selepas itu, kanak-kanak ini akan dikembalikan kepada ibu bapa atau penjaga apabila tempoh tiga bulan berakhir. Semasa penyerahan kembali kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga perlu melalui proses amaran kelakuan dan larangan mengulangi kesalahan.

“Tanggungjawab keselamatan di pusat ini adalah diletakkan di bawah bidang kuasa RELA yang memberikan kawalan 24 jam sepanjang pusat beroperasi, manakala tanggungjawab membuat pemeriksaan sebelum masuk dan isu-isu kesihatan adalah di bawah penyeliaan Jabatan Kesihatan sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan konvensyen berkaitan hak Kanak-Kanak 1989 (Geneva) yang menekankan hak-hak kanak-kanak untuk mendapatkan perlindungan dari sebarang keadaan yang merbahaya termasuk kemungkinan pengekploitasian terhadap kanak-kanak, serta Akta Kanak-kanak tahun 2001: Perkara 17 (k) (i) dan (ii). Larangan kanak-kanak terlibat dengan aktiviti meminta sedekah atau mengemis serta aktiviti yang memudaratkan kesihatan atau kebajikan kanak-kanak.

“Kerajaan sememangnya menyedari bahawa isu kanak-kanak yang berkeliaran mahupun pengemis secara keseluruhannya perlu ditangani dan kerajaan akan sentiasa berusaha mencari penyelesaian. Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Pihak Berkuasa Tempatan akan terus berkolaborasi dan melaksanakan operasi bersepadu dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lain- lain agensi yang berkaitan. 

“Pada masa yang sama, usaha membanteras kewujudan kelompok ini dan kegiatan mereka sudah tentunya memerlukan sokongan dan kerjasama seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, kehadiran kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis di jalan raya dan lampu trafik khususnya di Kota Kinabalu serta bandar-bandar utama seperti Tawau, Sandakan dan Lahad Datu telah mewujudkan kegusaran awam.

“Penglibatan mereka dalam aktiviti seperti meminta sedekah, berkeliaran di kawasan tumpuan ramai serta mewujudkan setinggan dalam bandar bukan sahaja memberi imej negatif kepada negeri ini, malah memberi persepsi yang salah tentang usaha pembangunan negeri. 

“Majoriti kumpulan ini adalah daripada suku Palauh yang merupakan kumpulan masyarakat tanpa dokumen yang secara tradisinya menghuni kawasan pesisir laut dan pulau-pulau di pantai timur negeri Sabah,” ujarnya.

wartaoriental