Home » Mahkamah: 15 hari bicara kes ubah wang haram, cukai Rosmah
Berita Am Berita Dalam Negara

Mahkamah: 15 hari bicara kes ubah wang haram, cukai Rosmah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan selama 15 hari bermula 12 Mei 2023 bagi perbicaraan kes pengubahan wang haram dan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu ketika prosiding sebutan kes berkenaan hari ini yang turut dihadiri peguam bela Datuk Geethan Ram Vincent dan Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn bagi pendakwaaan.

Tarikh-tarikh yang ditetapkan bagi perbicaraan adalah pada 12 Mei, 28 dan 30 Jun, 6, 7, 27, 28 dan 31 Julai, 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September tahun depan.

Bagaimanapun, hakim itu berkata, tarikh perbicaraan berkenaan bergantung kepada keputusan rayuan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes terbabit, yang akan didengar Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Yih Tinn memberitahu mahkamah, pendakwaan akan memanggil 15 orang saksi dijangka memberikan keterangan.

Dalam prosiding sebelum ini, Hakim Mohamed Zaini mengingatkan peguam bela Rosmah supaya memberi keutamaaan terhadap perbicaraan kes itu.

Ini kerana Mohamed Zaini berkata, kes itu belum dibicarakan walaupun selepas empat tahun berlalu.

Mengikut pertuduhan Rosmah, 70, didakwa 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Terdahulu pada 22 november lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya akan mendengar penghujahan lanjut sama ada ia mempunyai bidang kuasa mendengar dua rayuan Rosmah untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini dalam perbicaraan kes itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah menangguhkan rayuan yang sepatutnya didengar pada hari itu, bagi membolehkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis berhubung isu interlokutori yang dibangkitkan oleh mahkamah.

Mahkamah Rayuan ketika itu kemudian menetapkan 23 Disember ini bagi pengurusan kes rayuan tersebut.

Pada 1 September lalu, Hakim Mohamed Zaini menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan denda RM970 juta selepas mendapati Rosmah bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

-– KOSMO! ONLINE

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment