Home » Penyokong Portugal ‘tolak’ Ronaldo
Berita Luar Negara Sukan

Penyokong Portugal ‘tolak’ Ronaldo

CRISTIANO Ronaldo (tengah) menyertai sesi latihan Portugal bersama bersama Diogo Dalot (kiri) dan Pepe di Al Shahaniya SC, Doha semalam menjelang pertemuan menentang Maghribi. – AFP

DOHA: Populariti Cristiano Ro­naldo terus menjunam apabila majoriti penyokong Portugal tidak mahu kapten mereka itu diturunkan dalam kesebelasan utama apabila menentang Maghribi pada suku akhir Piala Dunia hari ini.

Dalam tinjauan pendapat yang dilakukan akhbar A Bola, 93.6 peratus mahu Goncalo Ramos mengetuai serangan kerana percaya pemain muda Benfica itu menjadikan permainan lebih laju.

Selain Ronaldo yang semakin perlahan, sikap ‘diva’ penyerang berusia 37 tahun itu di Qatar juga antara punca penyokong mula muak dengannya.

Pengurus pasukan, Fernando Santos meletakkan Ronaldo di bangku simpanan ketika menentang Switzerland pada pusingan 16 akhir, dan tempatnya digalas dengan baik oleh Ramos, 21, yang meledak hatrik untuk membantu kemenangan 6-1.

Ronaldo sebelum itu dilaporkan mengugut untuk meninggalkan pasukan selepas digugurkan daripada kesebelasan utama, namun ditenangkan agar tidak terburu-buru.

Santos sebelum itu mengakui berang dengan Ronaldo yang ‘merajuk’ selepas dikeluarkan dalam aksi terakhir kumpulan yang menyaksikan Portugal dimalukan Korea Selatan 2-1.

Menurut akhbar Marca, Ro­naldo tidak menyertai latihan bersama pemain gantian Rabu lalu dan mendesak agar dibenarkan menyertai latihan di gimnasium bersama kesebelasan utama yang akan diturunkan hari ini.

Kemenangan ke Maghribi bakal membawa Portugal ke separuh akhir Piala Dunia dan bertemu antara juara bertahan, Perancis atau England. – AGENSI

UTUSAN

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment