Home » BERSATU akan terus kekal di Sabah, kembali bangkit perkasa parti
Berita Dalam Negara Politik

BERSATU akan terus kekal di Sabah, kembali bangkit perkasa parti

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – BERSATU akan terus kekal di Sabah dan kembali bangkit, biarpun pemimpinnya meninggalkan parti hari ini.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata BERSATU akan segera membentuk semula struktur parti di semua peringkat di negeri itu.

“Pengurusan parti akan segera membentuk semula struktur di pelbagai peringkat untuk tujuan kembali memperkasakan parti.

“Kita amat yakin dengan penerimaan dan sokongan rakyat kepada BERSATU di seluruh negara termasuk di Sabah. BERSATU akan kekal di Sabah dan akan bangkit daripada situasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyusul selepas pemimpin tertinggi BERSATU Sabah diketuai ketuanya, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, hari ini mengumumkan keluar parti itu.

Ia selepas mereka menyertai Kerajaan Campuran menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Parti Warisan (WARISAN).

Hajiji pagi ini, berkata keputusan dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri ditunjangi GRS – Barisan Nasional (BN) juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan,” katanya.

— EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment