Home » BERSATU Ranau bubar, semua pemimpin tinggalkan parti
Berita Tempatan

BERSATU Ranau bubar, semua pemimpin tinggalkan parti

Seluruh ahli-ahli BERSATU Bahagian Ranau akan turut serta mengikut langkah Masidi seterusnya membubarkan jawatankuasa cawangan masing-masing.

RANAU: Seluruh barisan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Ranau menyokong dan menuruti keputusan pimpinan negeri untuk meninggalkan parti berkenaan.


Tindakan itu juga dilakukan berdasarkan keputusan mantan Timbalan Pengerusi BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga merupakan Ketua BERSATU Bahagian Ranau untuk keluar daripada parti berkenaan.


Dengan keputusan tersebut, jawatankuasa BERSATU Bahagian Ranau secara automatiknya terbubar.


Keputusan tersebut dibuat dalam satu perjumpaan yang berlangsung di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN)  Karanaan.


Dalam perjumpaan tersebut, Masidi menjelaskan bahawa tindakan untuk keluar daripada parti tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainuddin.


“Kita menyertai BERSATU dengan cara yang baik dan sudah semestinya apabila kita mengambil keputusan untuk keluar, sudah pasti juga dengan cara yang baik.


“Kita menghormati dan berterima kasih dengan segala jasa BERSATU kepada kita, namun tindakan ini perlu diambil bagi memastikan kestabilan politik dan kelangsungan pembangunan negeri ini terus berjalan,” katanya.


Dijangka seluruh ahli-ahli BERSATU Bahagian Ranau akan turut serta dengan membubarkan jawatankuasa cawangan masing-masing.

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment