Home » Tiada keperluan kosongkan kerusi – Jonathan Yassin
Berita Tempatan Politik

Tiada keperluan kosongkan kerusi – Jonathan Yassin

Jonathan berkata, perlembagaan GRS menerusi Fasal 6 (i) membenarkan permohonan seorang individu untuk menjadi ahli secara individu atau ‘Direct Membership’.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yassin melihat tiada keperluan untuk mengosongkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu selepas pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah mengumumkan keluar parti itu semalam.

Beliau bersama tiga lagi wakil rakyat dari Sabah iaitu Ahli Parlimen Papar Datuk Azmizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) sebelum ini bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya yang lalu.

“Tiada keperluan untuk kerusi dikosongkan.  Kami masih dalam GRS, iaitu tiket parti yang kami tandingi malah watikah kami sebagai calon pun diberi oleh parti GRS.

“Sebelum pilihan raya, kami sudah pun sertai GRS secara individu dan secara implikasinya keahlian saya dalam BERSATU sudah tergugur mengikut perlembagaan BERSATU,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini hari ini.

Jonathan berkata, perlembagaan GRS menerusi Fasal 6 (i) membenarkan permohonan seorang individu untuk menjadi ahli secara individu atau ‘Direct Membership’.

“Ini bermakna bukan hanya sesebuah parti yang boleh menyertai GRS namun seorang individu juga boleh memohon keahlian secara individu.

“Berdasarkan Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU, jika seorang ahli sudah sertai parti lain maka keahlian dalam parti BERSATU dengan sendirinya tergugur, jadi tiada keperluan untuk kami mengosongkan kerusi kerana kami telah menjadi ahli GRS sebelum pilihan raya,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pemimpin BERSATU Sabah termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu.

Dalam satu kenyataan semalam, Hajiji berkata keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang ditunjangi Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

EDITOR