Home » ‘Perusahaan sosial antara bidang tumpuan Kuskop’
Berita Tempatan Politik

‘Perusahaan sosial antara bidang tumpuan Kuskop’

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang gembira kerana perusahaan sosial semakin berkembang di daerah itu dan Sabah, secara amnya. 

PENAMPANG: Perusahaan sosial adalah antara bidang yang akan diberi tumpuan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), selain digital ekonomi dan agro-pelancongan.


Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata perusahaan sosial di negara ini mempunyai peluang besar untuk dijadikan sebagai pekerjaan yang stabil, seterusnya memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi negara. 


“Perusahaan sosial merupakan satu bidang baharu yang menjadi tumpuan besar Kementerian termasuk agensi-agensi di bawah Kementerian. Malah sejumlah RM20 juta dicadangkan dalam Belanjawan untuk pembangunan perusahaan sosial di bawah SME Bank pada tahun hadapan.


“Hari ini (Jumaat), sempena kunjungan pertama saya di Penampang sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya singgah melawat perusahaan sosial yang dijalankan di sini bagi mendalami lebih lanjut konsep perusahaan ini serta isu-isu yang terkait dengan perusahaan sosial di Penampang,” katanya ketika mengadakan kunjungan di MJ, sebuah perusahaan sosial di Penampang milik Mary Jim.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang gembira kerana perusahaan sosial semakin berkembang di daerah itu dan Sabah, secara amnya. 


“Saya juga maklum Kerajaan Sabah sedang membangunkan pelan induk pembangunan perusahaan sosial dan saya mahu Kementerian membantu penyediaan pelan ini di peringkat negeri ini,” katanya.


Dalam kunjungan tersebut, Ewon diberi taklimat oleh Mary mengenai penglibatan komuniti luar bandar di seluruh negeri yang menghasilkan lebih 100 produk akhir yang dipamerkan di galeri kedainya.


Kuskop mempunyai 11 agensi yang kesemuanya berperanan untuk menyediakan bantuan kewangan, pinjaman dan latihan kepada usahawan dalam pelbagai bidang.
Agensi-agensi itu ialah Suruhanjaya Koperasi malaysia, Institut Koperasi Malaysia, SME Corp Malaysia, Tekun Nasional, Institut Keusahawan Negara, Bank Rakyat, SME Bank, UDA Holdings Berhad, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).


Dalam rekod kementerian, setakat ini seramai 491 pengusaha sosial berdaftar di seluruh Malaysia dan daripada jumlah itu, 26 pengusaha adalah dari Sabah.

EDITOR