Home » Warga emas hilang di Kampung Bangkahak Nayasan ditemukan selamat
Berita Tempatan

Warga emas hilang di Kampung Bangkahak Nayasan ditemukan selamat

SELAMAT: Mangsa ditemukan dalam keadaan selamat oleh pasukan SAR.

KOTA BELUD: Seorang warga emas lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Bangkahak Nayasan di sini berjaya ditemukan dalam keadaan selamat.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata mangsa berumur 80 tahun ditemukan oleh pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) pada jam11.50 pagi.


“Mangsa ditemukan pada jarak 300 meter dari rumahnya iaitu di kawasan semak hutan berhampiran,” katanya.


Terdahulu operasi SAR dijalankan kira-kira jam 9.50 pagi selepas pihak Bomba menerima maklumat kehilangan mangsa.


“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada anaknya, mangsa disedari hilang kira-kira jam 3 pagi selepas gagal dikesan di rumah mereka.


“Ahli keluarga dengan bantuan penduduk kampung kemudiannya menjalankan pencarian di sekitar kawasan rumah serta kawasan hutan,” katanya.


Beliau berkata pencarian awal yang tidak membuahkan hasil menyebabkan mereka membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.


“Bertindak dengan maklumat, sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi SAR.


“Mangsa ditemukan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak keluarganya,” katanya.

Vivi Olviana Najurus