Home » Bank Dunia umum bantuan RM8.8 billion untuk sektor swasta Ukraine
Berita Luar Negara

Bank Dunia umum bantuan RM8.8 billion untuk sektor swasta Ukraine

GAMBAR menunjukkan ibu pejabat Bank Dunia di Washington pada 25 Mei lalu. — AFP

WASHINGTON – Bank Dunia mengumumkan pakej AS$2 bili­on (RM8.8 bilion)  untuk menyokong sektor swasta Ukraine kelmarin dalam usaha membantu membuka laluan kepada pembinaan semula akibat kemusnahan daripada pencerobohan Russia.

Pinjaman terbaharu itu diberikan oleh Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IC) yang merupakan cabang pembangunan Bank Dunia. IFC memberi tumpuan kepada pembangunan sektor swasta di pasaran membangun dan baru muncul.

Badan tersebut bekerja untuk membantu Ukraine mengekalkan aliran perdagangan dan mendapatkan akses kepada sumber utama seperti makanan serta bahan api.

Pencerobohan Moscow telah merosakkan infrastruktur Ukraine dan menjejaskan sektor swasta yang sebelum ini menyumbang 70 peratus produk keluaran dalam negara kasar (KDNK), kata IFC dalam satu kenyataan.

Sekitar 11 peratus perniagaan di negara itu gulung tikar setakat September lalu dan lebih separuh beroperasi di bawah kapasiti, tambahnya yang memetik angka Bank Pusat Ukraine.

“Banyak syarikat berterusan memberikan pekerjaan, barang keperluan serta perkhidmatan tetapi memerlukan kewangan untuk terus beroperasi,” kata IFC.

Semasa perang dan fasa awal pembinaan semula, program baharu IFC akan memberi tumpuan untuk memastikan akses kepada barangan dan perkhidmatan kritikal di samping menyalurkan  sokongan kepada perniagaan pertanian serta dagangan kewangan termasuk import bahan api.

“Menyediakan modal pada masa genting ini penting untuk memastikan  perniagaan dan perkhidmatan penting terus beroperasi dan apabila tiba masanya, bersiap sedia untuk usaha pembinaan semula besar-besaran yang akan berlaku,” kata Pengarah Urusan IFC, Makhtar Diop.

Pakej itu termasuk AS$1 bilion (RM4.4 bilion) oleh IFC dengan kewangan tambahan bergantung kepada jaminan daripada kerajaan-kerajaan yang akan memberi sumbangan, katanya. – AFP 

K!ONLINE