Home » Mangsa banjir di empat negeri kekal, Kelantan menurun
Berita Am Berita Dalam Negara

Mangsa banjir di empat negeri kekal, Kelantan menurun

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kelantan mencatatkan penurunan pagi ini manakala di Pahang, Terengganu, Johor dan Perak masing- masing kekal.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Mas yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 1,814 mangsa daripada 565 keluarga berbanding 1,882 mangsa daripada 593 keluarga malam tadi.

Daripada jumlah itu, 712 mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Kedai Tanjong (34), SK Gual Periok (516), Masjid Mukim Padang Licin (57), PPS Putat Tujoh (142), SK Kubang Kual (189) dan SK Sri Kiambang (164).

Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 141 orang daripada 36 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Sinar Mutiara di Sungai Miang, Pekan.

Jabatan Meteorologi meramalkan daerah itu akan mengalami hujan sepanjang hari ini manakala Sungai Keratong di Rompin masih merekodkan bacaan melebihi paras bahaya dan Sungai Triang di Bera berada di paras amaran.

Di TERENGGANU, Sekretariat JBPN memaklumkan SK Atas Tol di Kuala Terengganu adalah satu-satunya PPS yang masih beroperasi ketika ini dengan menempatkan 20 orang mangsa daripada lima keluarga.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kekal 91 orang daripada 21 keluarga berada di tiga PPS di Segamat iaitu Balai Raya Kampung (Kg) Batu Badak, Balai Raya Kg Kuala Paya serta Dewan Komuniti Kg Tasek dan tiga keluarga di PPS Kg Lubuk, Mersing setakat 8 pagi ini.

Tiga lokasi terjejas banjir di Segamat adalah di Kg Seberang Batu Badak, Kg Batu 5, Kg Kuala Paya dan satu lokasi di Mersing melibatkan Kg Lubuk.

Di PERAK juga situasi tidak berubah apabila hanya satu PPS sahaja dibuka iaitu PPS SK Sungai Tiang Darat pada pagi ini.

Sekretariat JPBN memaklumkan PPS itu menempatkan 15 mangsa daripada tujuh keluarga dari Kg Sungai Belakang, Kg Sungai Tiang dan Kg Sungai Nipah Darat.

— BERNAMA