Home » Sabah, Korea meterai MoU pengurusan taman
Berita Tempatan Politik

Sabah, Korea meterai MoU pengurusan taman

PETER dan Song menunjukkan dokumen MoU tersebut, sambil diperhatikan oleh Joniston dan yang lain.

KOTA KINABALU: Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) dan Perkhidmatan Taman Negara Korea (KNPS) akan memudahkan kerjasama dalam bidang pengurusan taman dan kawasan perlindungan, penyelidikan, pendidikan serta pemuliharaan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai berkata, pemeliharaan dan perlindungan taman atau kawasan perlindungan lain adalah matlamat bersama Taman-Taman Sabah dan Perkhidmatan Taman Negara Korea.

“Justeru, saya melihat MoU ini perlu untuk kedua-dua pihak berkongsi pengetahuan dan kepakaran serta menggunakan apa yang telah kita pelajari untuk membangunkan sistem pengurusan taman yang lebih sesuai dengan keperluan kedua-dua wilayah,” katanya semasa majlis menandatangani MoU tersebut, di sini, Jumaat.

MoU itu, katanya, mengikat kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam sembilan bidang utama bagi tempoh lima tahun bermula Jumaat.

Antara bidang tersebut ialah teknik pengurusan taman dan kawasan perlindungan, teknik dan teknologi untuk pemulihan habitat dan ketersambungan skala landskap, pemantauan dan penyelidikan ekologi, serta pemuliharaan dan pengurusan sumber asli taman.

Selain itu, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam perkongsian dan libat urus dengan masyarakat tempatan, terjemahan sumber asli dan pendidikan alam sekitar, pengurusan pelancongan berasaskan alam semula jadi, pengetahuan dan penyelidikan tentang faedah hidup dengan alam semula jadi, dan mana-mana bidang lain yang mungkin diputuskan bersama oleh kedua-dua pihak.

“Saya menjangkakan melalui MoU ini, Taman-Taman Sabah dan KNPS akan memanfaatkan sepenuhnya keupayaan unik sendiri dan saling melengkapi kerja-kerja strategik masing-masing, khususnya dalam sembilan bidang yang dinyatakan.

“Di Sabah, kita mempunyai sembilan kawasan perlindungan, yang mana tiga adalah taman daratan dan enam lagi, taman laut.“Taman-Taman Sabah menyelia kesemua kawasan pemuliharaan ini yang merangkumi jumlah keluasan sekitar 1.216 juta hektar.

“Kami juga merancang untuk menambah Pulau Mantanani dan Teluk Darvel ke rangkaian taman laut kami,” katanya.Joniston berkata beliau difahamkan bahawa KNPS menyelia 21 taman negara.

“Saya tahu pelawat tertarik dengan landskap pergunungan indah dan menakjubkan yang dimiliki negara anda.

“Seperti anda, kami percaya bahawa taman-taman yang dilindungi dengan baik adalah aset berharga untuk menarik pengunjung yang berminat untuk mempelajari mengenai alam luar dan usaha pemuliharaan, sekali gus membawa masuk hasil yang sangat diperlukan untuk Sabah dan juga masyarakat setempat.

“Ya, kami berbangga dengan sejauh mana pencapaian Negeri ini dan Taman-Taman Sabah untuk memelihara kawasan kita yang kaya dengan biodiversiti.

“Malah, beberapa taman yang dilindungi ini menjadi rumah kepada spesies tumbuhan, haiwan dan burung terancam yang endemik di Sabah atau kawasan khusus itu.

“Ini adalah salah satu contoh kenapa penting untuk kita meneruskan kerja pemuliharaan cemerlang yang kita lakukan selama ini dan mengkaji teknik pengurusan terbaik yang digunakan di negara lain untuk mendapatkan pandangan tentang bagaimana kita boleh memperbaiki cara kita menyelia zon perlindungan kita sendiri.

”Beliau menambah, pada tahun ini delegasi Taman-Taman Sabah dan KNPS telah mengembara antara Sabah dan Korea, dan sebaliknya, untuk pertukaran kakitangan dan acara seperti Kongres Taman-Taman Asia 2022.

“Ini antara kerjasama yang kami jangka akan meningkatkan persefahaman bersama dan perkongsian idea baharu.

“Saya yakin projek dan program lain akan terhasil daripada perkongsian ini, dan saya amat berharap kita akan dapat mengeratkan hubungan kedua-dua pihak melalui inisiatif bersama ini.

“Saya juga berharap jabatan lain di Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mengambil perhatian terhadap perkongsian ini serta mencontohinya.

“Saya tidak ragu-ragu bahawa kerjasama sebegini akan berkembang dengan cara membina dan menghasilkan pelaksanaan projek kerjasama yang lebih khusus dalam pelbagai bidang,” katanya.

Menandatangani MoU itu adalah Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah Peter Lintar, Timbalan Pengarah Taman-Taman Sabah Rimi Repin, Pengerusi KNPS Song Hyung Kun dan Pengarah Jabatan Pentadbiran KNPS Kim Jong Sik.

Sementara itu, Song berkata menerusi MoU itu kedua-dua pihak akan saling bertukar pengetahuan dan kemahiran, khususnya mengenai pengurusan taman laut.

“Kami telah menghabiskan tiga hari daripada program lima hari kami di Negeri ini dan setakat ini, kami kagum dengan tarikan di Sabah.

“Kami melawat hutan bakau, memerhati kelip-kelip serta pulau-pulau…ini benar-benar kenangan yang tidak dapat kami lupakan.“Dan esok (Sabtu), kami akan ke Taman Negara Kinabalu. Saya tidak sabar untuk melihat keindahan alam semula jadi di sana,” katanya.

Ricardo Unto

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment