Home » Kami tak undi usul percaya PM kerana tak mahu terlibat MoU ‘tidak sah’, kata Takiyuddin
Berita Dalam Negara Politik

Kami tak undi usul percaya PM kerana tak mahu terlibat MoU ‘tidak sah’, kata Takiyuddin

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan menyifatkan dokumen perjanjian kerajaan perpaduan ditandatangani parti gabungan kerajaan tidak sah dan bercanggah dengan “rohnya”.

KUALA LUMPUR: Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan berkata gabungan blok pembangkang tidak menyertai undian suara usul undi percaya terhadap perdana menteri kerana tidak mahu terlibat dengan perjanjian persefahaman antara parti gabungan kerajaan, yang didakwanya tidak sah.


“Pendirian kita, kita tidak mengundi atau menyebut kata setuju atau tidak, kerana kita tidak mahu terlibat dalam mengundi satu dokumen yang tidak sah. Kita tidak minta undi sebab kita tak mengundi, biasanya kalau kita nak tahu berapa undi kita minta lah undi belah bahagi tetapi kita tak minta dan pihak sana pun tak minta.


“Jadi, tiada angka terhadap usul undi percaya ini. Tiada 148 ke 160 ke.. 222 ke, tak tahu. Itu bukan urusan kami,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat.


Terdahulu, Anwar Ibrahim (PH-Tambun) mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai perdana menteri ke-10 selepas usul undi percaya dibentangkan di Dewan Rakyat petang ini.


Usul undi percaya itu diluluskan dengan undian suara selepas lebih suara menyatakan bersetuju. Usul berkenaan dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan kemudian dibahaskan 12 Ahli Parlimen.


Mengulas lanjut, Takiyuddin (PN-Kota Bharu) berkata dokumen perjanjian kerajaan perpaduan yang ditandatangani parti gabungan kerajaan sebagai tidak sah dan bercanggah dengan “rohnya”.


“Isu juga dibangkitkan kami adalah berkait memorandum yang pada pandangan kami satu dokumen yang bercanggah dengan perlembagaan berdasarkan rohnya, kerana dalam Perlembagaan Artikel 63 menyatakan seorang Ahli Parlimen mempunyai hak eksklusif untuk menentukan atau membuat keputusan.


“Apa saja keputusan yang dibuat dalam Dewan ini tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan, tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah atau peringkat,” katanya.


Lima gabungan politik utama iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dan Warisan, yang membentuk kerajaan perpaduan menandatangani perjanjian itu pada 16 Dis bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi.


Antara kandungan perjanjian itu ialah kegagalan Ahli Parlimen dalam kerajaan perpaduan mengundi atau menyokong perdana menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan, atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan, dikira meletak jawatan.


Sementara itu, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) dalam sidang media berasingan berkata undian belah bahagi tidak perlu, merujuk kepada kes pada pada 1976 dan 2003 apabila tiada undian blok dilakukan ketika usul undi percaya terhadap perdana menteri.


Tambahnya, undi belah bahagi juga tidak perlu kerana ia dibawa oleh pihak kerajaan

Nora Mahpar

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment