Home » PN jadi pembangkang berwibawa, pastikan semak imbang kerajaan
Berita Dalam Negara Politik

PN jadi pembangkang berwibawa, pastikan semak imbang kerajaan

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengucapkan tahniah kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul kerana dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengulangi pendiriannya untuk berperanan sebagai pembangkang berwibawa dalam membawa suara rakyat ke Parlimen, selain memikul tugas semak dan imbang terhadap kerajaan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi memastikan tadbir urus kerajaan sentiasa berintegriti dan bebas daripada unsur rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

“Ini selaras prinsip prihatin, bersih dan stabil yang diperjuangkan PN.

“Pada masa sama, PN akan terus komited untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan hidup rakyat terjamin serta demokrasi terus subur di negara ini,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Seramai 74 Ahli Parlimen PN hari ini buat pertama kali menghadiri sidang Dewan Rakyat sebagai pembangkang, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengucapkan tahniah kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul kerana dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang menjalankan tugas dengan cemerlang sepanjang perkhidmatan beliau, sebelum ini.

— EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment