Home » Ahli perniagaan dari Semporna ditahan di Filipina
Berita Tempatan Jenayah

Ahli perniagaan dari Semporna ditahan di Filipina

“Suspek berumur 22 tahun itu ditangkap ketika sedang menjual dadah disyaki syabu kepada ejen kami semasa operasi beli-tangkap,” kata ketua pasukan PDEA IA3 Dorothy Joy E. Villoso. - Foto untuk ilustrasi sahaja

Kota Kinabalu: Seorang rakyat Malaysia dari Semporna ditahan dalam operasi dadah di Zamboanga City baru-baru ini.


Operasi bersama anggota Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) dan Polis Negara Filipina itu dilakukan di Barangay Upper Calarian di Zamboanga City pada 7.45 malam, Jumaat lalu.


Harian Ekspres dimaklumkan bahawa operasi itu membawa kepada penahanan lelaki dari Semporna itu.


“Suspek berumur 22 tahun itu ditangkap ketika sedang menjual dadah disyaki syabu kepada ejen kami semasa operasi beli-tangkap,” kata ketua pasukan PDEA IA3 Dorothy Joy E. Villoso.


Turut didapati dalam pemilikan suspek ialah satu paket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis syabu seberat 10 gram dengan harga pasaran Php 68,000.00 (lebih RM6,000), satu beg sandang, dua puluh empat keping Php 1,000, satu telefon bimbit, dokumen kewarganegaraan Malaysia atas nama Imran Bin Muhalir, satu dompet kulit dengan barangan peribadi, Php 4,590 dalam denominasi berbeza, mata wang Malaysia dan sekeping kad pengenalan.


Lelaki itu yang mengaku sebagai ahli perniagaan Malaysia, sering melawat bandar itu dan wilayah Tawi-Tawi.


Di Zamboanga, alamat yang diketahui ialah di Daisy Road di Batangay Guiwan, dan ketika berada di Tawi-Tawi, lelaki itu tinggal di Tubig Basag Bongao.


Lelaki itu kini berada di bawah tahanan polis bandaraya untuk siasatan lanjut dan pertuduhan jenayah di mahkamah atas kesalahan dadah.

Nikko Fabian

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment