Home » Perkhidmatan awam perlu gigih bantu kerajaan majukan negeri, sejahterakan rakyat – Hajiji
Berita Tempatan Politik

Perkhidmatan awam perlu gigih bantu kerajaan majukan negeri, sejahterakan rakyat – Hajiji

KENANGAN: Anwar (tengah), Hajiji (dua kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan terus memberi sokongan dan dokongan kepada kerajaan negeri pimpinannya dalam usaha memajukan negeri.


Katanya, sekarang adalah masa untuk bekerja keras, membangunkan semula ekonomi negeri serta mensejahterakan rakyat.
Beliau berkata menjadi tanggungjawab bersama melaksanakan perancangan yang dibuat untuk rakyat.


“Setiap kita menginginkan kerajaan yang stabil, negeri dan negara yang makmur, supaya kita dapat hidup dengan aman dan sentosa.


“Sebagai anggota perkhidmatan awam, kita seharusnya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap segala usaha bagi membina semula ekonomi negeri dan membela nasib rakyat”, katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di Sabah, di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.


“Dan dalam kita sedang menyusun segala strategi untuk memperkukuhkan pentadbiran serta memulihkan ekonomi negeri, tiba-tiba datang lagi ujian baharu berupa cubaan untuk mengganggu dan menjatuhkan kerajaan.


“Sungguh luar biasa ujian dan tribulasi yang datang silih berganti. Namun, saya sangat bernasib baik, kerana mempunyai rakan-rakan dalam kepimpinan negeri, termasuk jentera kerajaan, iaitu anggota perkhidmatan awam yang tetap memberikan sokongan dan dokongan dalam usaha kita untuk memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat”, tegasnya.


Dalam mengorak langkah ke hadapan, Hajiji mengajak anggota perkhidmatan awam melipatgandakan lagi usaha serta khidmat bakti kepada negeri, rakyat dan masyarakat.


Beliau berkata, sebagai jentera pelaksana dasar dan program pembangunan kerajaan, anggota perkhidmatan awam menjadi pemangkin bagi merealisasikan apa jua dasar dan perancangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.


Menurutnya, dalam konteks negeri Sabah, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 merupakan wadah untuk menempatkan semula Sabah pada landasan yang tepat ke arah kemajuan dan pembangunan yang holistik merangkumi kemakmuran ekonomi, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat.


Katanya, pendekatan itu adalah selaras dan selari aspirasi Perdana Menteri yang telah memperkenalkan gagasan besar Malaysia Madani, sebagai paradigma baharu untuk negara mengolah hala tuju dasar dan pelaksanaan strategi yang merentas semua sektor, termasuk kemanusiaan dan modal insan, ke arah mengangkat semula martabat negara di persada dunia.


“Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Sabah adalah negeri terawal menyambut baik konsep Malaysia Madani dengan menganjurkan seminar, forum dan bengkel bagi mengupas dan mendalami konsep Malaysia Madani.


“Saya berharap agar seluruh anggota perkhidmatan awam sentiasa bersikap terbuka dan bersedia menghadapi perubahan dan cabaran, sesuai dengan perkembangan dan kehendak semasa. 


“Jangan sekali-kali mudah selesa dengan pencapaian yang ada. Jadilah penjawat awam yang berdaya kreatif, bersikap proaktif serta memiliki semangat untuk berlumba dalam mencapai kejayaan secara sihat, berintegriti dan menjauhi rasuah.


Hajiji turut menegaskan berkat kerja keras semua pihak, pada tahun lalu Sabah berjaya mengutip hasil negeri sebanyak RM7 bilion, iaitu jauh melepasi angka disasarkan. 


Manakala nilai pelaburan mencecah RM33 bilion, melibatkan beberapa syarikat pelabur dari dalam dan luar negara.


Katanya, kejayaan ini adalah juga kejayaan anggota perkhidmatan awam yang telah mempamerkan komitmen dan kerja keras yang membanggakan.


Hajiji turut menyentuh pencapaian Kerajaan Negeri di bawah pimpinannya dalam tempoh dua tahun, antaranya pemeteraian perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) dengan pihak Petronas yang berprinsipkan `Greater Say, Greater Participation and Greater Revenue’, meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah dan RUU Bekalan Gas 2023, yang memberi kuasa sepenuhnya kepada Sabah dalam pengendalian bekalan gas, termasuk operasi tenaga elektrik mulai 1 Januari 2024.


“Perlu diingat, bahawa kejayaan ini membuktikan sokongan dan keprihatinan Perdana Menteri terhadap tuntutan yang kita kemukakan berkaitan hak-hak Sabah seperti yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tegasnya.


Hajiji turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Anwar yang telah memperuntukkan RM6.5 bilion untuk pembangunan negeri Sabah dalam Belanjawan Persekutuan yang dibentangkan semula.


Menurutnya, peruntukan RM6.5 bilion itu sebenarnya tidak termasuk beberapa inisiatif lain, antaranya merangkumi pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah/Sarawak sebanyak RM20 bilion dan RM1 bilion lagi untuk membangunkan kawasan sempadan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.


Hajiji juga yakin Malaysia mampu bangkit kembali menjadi negara yang disegani dan dihormati di bawah pimpinan dinamik Anwar

— BERNAMA