Home » GRS kekal terajui Kerajaan Sabah sehingga PRN17, kata Dr Jeffrey
Berita Tempatan Politik

GRS kekal terajui Kerajaan Sabah sehingga PRN17, kata Dr Jeffrey

Menurut Dr Jeffrey, sokongan rakyat kepada GRS dan Kerajaan Perpaduan Persekutuan juga turut didukung perkembangan mutakhir kalangan rakyat yang mulai menerima agenda perjuangan MA63.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan kekal menerajui Kerajaan Negeri Sabah sehingga Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Ke-17 akan datang berdasarkan pelbagai senario yang sedang berlaku di Sabah dan Persekutuan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata, Datuk Seri Hajiji Haji Noor akan kekal sebagai Ketua Menteri kerana memiliki majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Kerajaan Negeri Sabah juga akan membentang undang-undang anti-lompat di DUN Sabah untuk mengekang pergerakan ahli-ahli DUN beralih dari satu parti ke parti lain,” katanya.

Dr Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Khas Parti STAR Sabah di Dewan Datuk Guandee Kohoi Sokid Villa di sini pada sabtu lepas ( 18 Mac).

Mesyuarat agung khas diadakan untuk membuat beberapa pindaan perlembagaan parti demi memperkukuh STAR, memperkasa kepimpinan dan memperluas ruang ahli-ahli berkhidmat kepada rakyat.

Menurut Dr Jeffrey, sokongan rakyat kepada GRS dan Kerajaan Perpaduan Persekutuan juga turut didukung perkembangan mutakhir kalangan rakyat yang mulai menerima agenda perjuangan MA63.

“Perjuangan menuntut hak perlembagaan Sabah dan Sarawak sudah menjadi agenda utama kalangan pemimpin parti-parti politik khususnya di Sabah termasuk kalangan wakil rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Keningau.

Dr Jeffrey seterusnya menjelaskan, jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan hak-hak perlembagaan Sabah dan Sarawak turut memperkukuhkan keyakinan rakyat Sabah ke atas Kerajaan GRS.

Jaminan tersebut, tegas Dr Jeffrey merupakan satu pencapaian tersendiri bagi perjuangan STAR setelah tuntutan hak perlembagaan itu dipandang sebagai satu kesalahan ketika era pemerintahan terdahulu di bawah Tun Dr Mahathir Mohamed.

— EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment